Search This Blog

Tuesday, October 25, 2011

Gagal jejaki lelaki lemas

BALING: Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lubuk di kawasan peranginan Lata Mengkuang, dekat sini, menemui jalan buntu apabila mangsa, Zulkifli Zakaria, 20, masih gagal ditemui, semalam.

Operasi yang memasuki hari kelima itu turut disertai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Azmi Che Hussin, melancarkan majlis bacaan Yasin membabitkan lebih 200 penduduk di padang Sekolah Kebangsaan Iboi, di sini, malam kelmarin untuk memudahkan usaha mencari mangsa.


Azmi berkata, pihaknya bersama penduduk kampung turut bersepakat untuk menggunakan kayu balak bagi menyekat arus air terjun yang terlalu deras bagi memudahkan operasi mencari mangsa yang berasal dari Kampung Bok Bak, Kupang.

Menurutnya, tekanan air di dalam lubuk berkenaan terlalu deras dan membahayakan. Oleh itu, dengan penggunaan kayu balak diharap mampu mengurangkan tekanan.


“Bagaimanapun, saya kecewa kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mangsa sudah ditemui, semalam (kelmarin) dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan.


“Saya turut menerima SMS berkenaan dan ia adalah sesuatu yang mengecewakan kerana akan mengganggu emosi keluarga mangsa disebabkan maklumatnya ternyata palsu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Justeru, katanya, pihaknya menyeru kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ia akan menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan ahli keluarga mangsa.


Harian Metro semalam melaporkan mangsa dikatakan tergelincir ke dalam lubuk sedalam 10 meter di kawasan berkenaan ketika cuba mengalih kedudukan sewaktu memancing bersama beberapa rakannya pada Jumaat lalu.

myMetro | Gagal jejaki lelaki lemas:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment