Search This Blog

Tuesday, October 25, 2011

Dibelasah, paksa minum arak akibat salah faham

GOMBAK: Gara-gara salah faham mengenai alat ganti motosikal, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bukan saja dibelasah sekumpulan lelaki, malah dipaksa meminum minuman keras sebelum berjaya diselamatkan pengawal keselamatan di sebuah rumah di Jalan Ipoh, dekat sini, kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada rakan yang meminta bertemunya di sebuah stesen minyak di Taman Selayang.


Menurut sumber, rakan mangsa memberitahu mahu membayar hutang RM200 dan meminta mangsa berjumpanya di stesen minyak berkenaan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bersama seorang lagi rakan menaiki motosikal lalu pergi ke tempat dijanjikan.


“Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila tiba-tiba, sekumpulan 10 lelaki tidak dikenali bersama rakan yang berhutang dengannya terus meluru ke arahnya sebelum mereka memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta,” katanya.


Katanya, terkejut dengan insiden itu, mangsa cuba melawan tetapi gagal apabila dipukul manakala rakan yang menemaninya turut dihentak dengan topi keledar.

“Seorang daripada suspek melarikan motosikal mangsa manakala yang lain terus memecut laju kereta berkenaan menuju ke sebuah rumah di Jalan Ipoh,” katanya.


“Sebaik tiba di rumah berkenaan, kumpulan itu terus memukul mangsa beberapa kali sambil bertanyakan tempat mangsa membeli alat ganti berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian memaklumkan tidak tahu dan merayu dilepaskan kerana alat ganti itu sudah diserahkan kepada polis selepas ditangkap kerana membeli barangan curi.


“Berang dengan jawapan itu, kumpulan lelaki terus membelasah mangsa sebelum seorang pengawal keselamatan yang kebetulan melalui kawasan itu terlihat kejadian berkenaan dan panik selepas tembelang mereka pecah, kumpulan suspek terbabit cuba membawa mangsa dan rakannya keluar dari kawasan berkenaan tetapi gagal apabila sempat dihalang pengawal terbabit,” katanya.


Sumber itu berkata, kesemua suspek termasuk lelaki yang berhutang dengannya turut melarikan diri selepas bimbang ditangkap.


“Kejadian dipercayai berpunca selepas seorang anggota kumpulan itu cuba menyalahkan mangsa konon mencuri alat ganti berkenaan sedangkan mangsa yang membeli daripada lelaki terbabit.


“Akibat salah faham itu, mangsa menerima padah apabila dibelasah hampir sejam dan mengalami lebam di seluruh badan,” katanya.


Mangsa dan rakannya kemudian membuat aduan di Balai Polis Selayang mengenai kejadian berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Dibelasah, paksa minum arak akibat salah faham:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment