Search This Blog

Thursday, October 13, 2011

300 tahanan politik dibebas



YANGON 12 Okt. - Myanmar hari ini membebaskan sekurang-kurangnya 300 tahanan politik termasuk beberapa tokoh penentang kerajaan.
Pembebasan itu bermakna 1,800 lagi tahanan politik masih meringkuk di dalam penjara di negara ini, yang kini mula mengambil dasar lebih terbuka selepas setengah abad diperintah oleh junta tentera.
Antara yang dibebaskan adalah Zarganar, pelawak yang dipenjarakan kerana mengkritik tentang junta tentera. Beliau dibebaskan dari tahanan di Myitkyiha, Kachin.
Turut dibebaskan, Jeneral Hsay Htin, pemimpin Tentera Negeri Shan, Hsay Htin yang dihukum penjara 160 tahun di penjara Rakhine.
Seorang pegawai kanan penjara memberitahu Reuters, kira-kira 300 penentang kerajaan adalah antara 6,359 tahanan yang dibebaskan hari ini di bawah pengampunan menyeluruh.
"Kami berharap ramai lagi akan dibebaskan dan saya benar-benar berterima kasih kerana tahanan politik dibebaskan," kata pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi.
Suu Kyi sendiri dibebaskan daripada tahanan di rumah selama 15 tahun, pada tahun lalu.
Selepas langkah-langkah luar biasa diambil dalam beberapa bulan lalu, termasuk pelonggaran kawalan ke atas media dan dialog lanjutan dengan Suu Kyi, bilangan yang dibebaskan hari ini tidak sebanyak yang diharapkan oleh beberapa pihak.
"Agak mengecewakan kerana berdasarkan langkah-langkah positif yang diambil sejak beberapa bulan lalu, kami menjangka bilangan yang dibebaskan hari ini adalah jauh lebih besar," kata penyelidik Amnesty International berpangkalan di Bangkok, Benjamin Zawacki.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton berkata, beliau menyambut baik 'tanda-tanda positif' pembaharuan yang ditunjukkan oleh Myanmar tetapi masih terlalu awal untuk mengumumkan tindak balas Washington.
AS, Eropah dan Australia mahu Myanmar membebaskan kira-kira 2,100 tahanan politik di negara ini sebelum mereka bersedia untuk menimbangkan penarikan balik sekatan yang telah melumpuhkan Myanmar dan mendorongnya menjalin hubungan lebih erat dengan China. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment