Search This Blog

Sunday, September 4, 2011

SMS terakhir jadi kenangan




RANTAU PANJANG – “ Saya akan simpan sms (khidmat pesanan ringkas) ni sampai bila-bila, itu kenangan terakhir dengan arwah,” kata Mohd Saufiallah Ismail,16, sahabat karib arwah Mohd Hisyamudin Abdullah,16, yang maut selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam semalam.

Mohd Saufiallah berkata, pada petang hari kejadian, Mohd Hisyamudin ada menghantar sms mengajaknya beraya di rumahnya di Chabang Tiga Bagus pada malam kejadian.

Menurutnya, kelmarin dia sempat menghantar mesej dengan arwah buat kali terakhir dan kandungan sms berkisar kepada undangan ke rumahnya untuk berhari raya.

“Saya tidak dapat memenuhi undangan arwah memandangkan hari telah malam dan merancang untuk beraya di rumah arwah pagi keesokan harinya serta tidak mengetahui arwah memasak untuk saya serta hendak datang ke rumah selepas dimaklumkan tidak dapat datang ke rumahnya.

“Bagaimanapun pagi tadi saya terima sms daripada rakan memberitahu arwah telah meninggal dunia, sukar untuk saya mempercayainya. Saya ingatkan kawan saya bergurau, tetapi setelah beberapa orang rakan lain turut menghantar sms memberitahu perkara serupa, baru saya percaya,” katanya kepada Sinar Harian di rumah arwah semalam.

Mohd Saufiallah berkata, dia akan menyimpan semua sms yang dihantar pada hari terakhir kelmarin sebagai kenangan.

Menurutnya, dia agak rapat dengan arwah sejak sekolah rendah dan mempunyai banyak kenangan bersama terutamanya ketika sama-sama belajar bagi menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Arwah seorang yang baik, dan sesuai dijadikan sebagai rakan, sebab itu walaupun berlainan sekolah, kami tetap berhubung.

“Setiap kali pulang cuti, kami selalu bertemu, tetapi sejak beraya, kami tidak pernah berjumpa cuma sempat bertemu bulan Ramadan lalu,” katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Naimah Othman, 56, berkata, anak keenamnya itu menunjukkan perubahan pada hari kejadian apabila memasak mihun untuk rakan baiknya Mohd Saufiallah bersama kakak keduanya.

Menurutnya, sebelum kejadian juga, arwah yang mempunyai wajah mirip ayahnya, Abdullah Yaacub,57, yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang banyak bergurau dan begitu mesra dengan ayahnya.

“Dalam kalangan lima beradik lelaki daripada kesemua sembilan beradik, arwah memang sering menceriakan suasana, tetapi akhir-akhir ini arwah lebih ceria lagi.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, arwah sempat berpesan kepada kakak keduanya supaya menggantikan puasa dua hari serta membayar fidyah,” katanya.

Naimah berkata, walaupun sedih kehilangan anak bongsunya itu, tetapi dia pasrah dan bersyukur kerana kesemua anak-anaknya dapat berkumpul pada hari raya tahun ini memandangkan Syawal sebelum ini kesemua anak-anaknya tidak dapat berkumpul.

“Kesemua anak-anak dapat berkumpul hari raya tahun ini dan dapat bertemu arwah, sebelum ini tidak semua dapat berkumpul,” katanya.

Mohd Hisyamudin dipercayai terlibat dalam kemalangan di Kampung Parit Air ketika dalam perjalanan ke rumah Mohd Saufiallah di Banggol Kulim selepas rakannya itu memaklumkan kepadanya dia tidak dapat datang beraya di rumahnya malam tersebut.

Mangsa yang menunggang sendirian dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh mat rempit di Jalan Parit Air menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Naimah Othman di Hospital Daerah Pasir Mas.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang kira-kira jam 11.15 pagi semalam.-sh

No comments:

Post a Comment