Search This Blog

Wednesday, September 7, 2011

Sikap peramah petanda ajal



KUALA LIPIS - Seorang pemandu kereta dan seorang penumpangnya maut selepas kereta dinaiki bersama tiga rakan lain terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan lima kenderaan di Kilometer 13, Jalan Lipis –Benta dekat Lipis petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5.30 petang itu, pemain bola sepak Malaysian Indian Youth Development Foundation (MIYDF) daerah Lipis, A Puveneswaran, 31 dan H Khartik, 18, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, tiga lagi penumpang kereta terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, pemandu dan penumpang kenderaan lain termasuk seorang penunggang motosikal yang terlibat dipercayai turut terselamat dalam nahas di laluan berselekoh itu.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dinaiki mangsa dari arah Benta menghala ke Lipis hilang kawalan ketika melalui satu laluan berselekoh di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai manakala permukaan basah dan licin,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, kereta mangsa kemudiannya terbabas ke kanan jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah motosikal.

“Kereta mangsa yang berpusing selepas pertembungan itu turut dirempuh sebuah lagi kenderaan manakala pacuan empat roda yang tersasar melanggar sebuah lagi kereta di hadapannya.

“Mangsa yang bertugas sebagai pengawai keselamatan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lipis bersama salah seorang penumpangnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat hilang kawalan dan faktor laluan basah serta licin selepas hujan.

“Nahas yang meragut dua nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Minta pulang awal



“Saya sempat meminta mereka menunggu sehingga selesai majlis penutup. Mereka mendengar arahan dan kembali ke tempat duduk, namun beberapa minit kemudian saya dapati mereka berlima tiada di kawasan padang.”

Demikian kata, Pengerusi MIYDF negeri, K Tamilselven ketika menceritakan detik awal sebelum kejadian kemalangan maut itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bersama tiga rakan lain sedang dalam perjalanan pulang dari Raub setelah selesai menyertai Pertandingan Bola Sepak MIYDF di Sekolah Menengah Chung Ching, Raub.

“Kelima-lima anak buah saya ini aktif bermain bola sepak dan mewakili MIYDF daerah Lipis hingga ke peringkat negeri. Setelah selesai kejohanan kira-kira jam 4 petang, mereka meminta kebenaran untuk pulang awal ke Lipis.

“Saya minta mereka menunggu hingga selesai acara penutup. Mereka mendengar arahan, namun beberapa minit kemudian mereka beredar dari kawasan padang dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya di Rumah Mayat Hospital Lipis, semalam.



Bersalaman dua kali



Tamilselven berkata, sebelah pagi sebelum mereka semua bergerak ke Raub untuk menyertai pertandingan bola sepak, mendiang Puveneswaran dan Karthik berubah menjadi peramah.

“Namun, kami tidak memikirkan perkara buruk akan berlaku dan gembira dengan sikap ramah ditunjukkan kedua-dua mendiang sepanjang perjalanan dari Lipis ke Raub,” katanya.

Tamilselven berkata, kedua-dua mendiang turut menunjukkan sikap aneh apabila bersalam dengannya sebanyak dua kali sebelum bergerak pulang ke Lipis.

“Saya terkejut apabila dikhabarkan mengenai kemalangan terbabit dan bergegas ke tempat kejadian sejurus tamat acara penutup pertandingan itu,” katanya.



Kehilangan dua penyerang



Tamilselven berkata, pemergian kedua-dua mendiang yang maut dalam kemalangan ngeri itu turut meragut semangat rakan-rakan pasukan MIYDF daerah yang kehilangan tonggak utama pasukan.

“Kedua-dua mendiang bermain di posisi penyerang dan kehilangan mereka dalam kejadian itu sedikit sebanyak merencatkan aktiviti bola sepak pasukan ini.

“Mendiang turut dikenali sebagai pemain berdisiplin dan banyak membantu pasukan MIYDF daerah memenangi pertandingan sama ada di peringkat daerah mahupun negeri,” katanya.



Jiran yang baik



Sementara itu, jiran kepada mendiang Puveneswaran, Azhar Idris berkata, mendiang dikenali sebagai seorang jiran yang ringan tulang dan sering membantu apabila majlis keraian seperti kenduri-kendara diadakan di kawasan perumahan mereka di Taman Muhibah, Batu 4.

“Walaupun berbeza agama, namun mendiang tidak segan membantu memeriahkan kenduri terutama membabitkan orang Melayu. Sikap ini sering dipuji jiran setempat,” katanya.



Hulur bantuan



Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa di Hospital Lipis semalam meluahkan kesedihan berhubung kejadian itu.

“Saya dimaklumkan kedua-dua mendiang kehilangan bapa dan sedikit sebanyak bantuan peribadi dihulurkan kepada keluarga mangsa untuk meringankan beban mereka dalam melancarkan urusan pengebumian.

“Pemandu kenderaan juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment