Search This Blog

Friday, September 9, 2011

Seludup petrol guna kereta mewah, teksi



PENGKALAN KUBOR – Helah penyeludup menggunakan teksi dan kereta mewah untuk menyeludup petrol ke negara jiran terbongkar apabila Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup petrol bernilai RM21,596, di sini.

Kejayaan itu berikutan operasi pada jam 1 pagi apabila anggota PGM Pengkalan Kubor menahan sebuah kereta Hyundai di Pengkalan Haram Zahari, Kampung Tualang dekat sini, semalam.

Turut ditahan sebuah teksi yang diubahsuai apabila ada tangki tambahan di bonet belakang yang mampu memuatkan 250 liter minyak di Pengkalan Haram Nasir Kampung Simpangan dalam kejadian berasingan jam 11.30 malam, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San berkata, pemandu teksi berusia 27 tahun ditahan, manakala petrol yang diseludup sempat dibawa menyeberangi Sungai Golok tersebut.

“Ketika anggota PGM sampai, bot yang sarat diisi minyak petrol berlepas menyeberangi Sungai Golok dan anggotanya berjaya menahan pemadu teksi itu.

“Selepas disoal siasat, pemandu itu didapati mengambil upah menyeludup minyak menggunakan teksi sebagai taktik terbaru bagi mengaburi penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, tahun ini sudah dua kes teksi ditahan PGM kerana cubaan menyeludup minyak ke Thailand di sekitar daerah ini.

“Dua kes melibatkan penyeludupan menggunakan teksi dan dua kes menyeludup minyak menggunakan kereta mewah termasuk kes hari ini (semalam), PGM berjaya menahan kereta Hyundai di Pengkalan Haram Zahari itu,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan didapati kereta Hyndai tersebut masuk ke pengkalan haram itu tanpa memasang lampu.

“Bila menyedari kehadiran anggota PGM, pemandunya lari lintang pukang dan menaiki bot enjin galah yang sedang menunggu di pengkalan haram itu dan menyeberangi ke seberang Thailand.

“Kereta dan minyak petrol sebanyak 28 tong yang setiap satunya mengandungi 30 liter ditinggalkan di pengkalan haram itu,” katanya.

Menurutnya, minyak bernilai RM1,596 dan kereta Hyundai bernilai RM20,000 diserahkan kepada kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment