Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Selepas berjaya rompak kedai emas, geng 'Ops Tebuk' gagal rompak pajak gadai

KUALA LUMPUR - Enam lelaki yang ditahan ketika cubaan merompak sebuah kedai pajak gadai di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam, didapati merompak sebuah kedai emas di Banting, Selangor, lima hari lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata hasil siasatan mendapati mereka terlibat dalam rompakan kira-kira 10 malam pada 29 Ogos ketika hampir semua premis perniagaan di Banting ditutup menjelang Aidilfitri.

"Dalam rompakan itu, mereka memecahkan dinding kedai itu sebelum membawa lari sejumlah barang kemas bernilai RM450,000.

"Tidak cukup dengan itu, mereka cuba memecah masuk sebuah kedai pajak pada awal pagi 1 Sept, namun berjaya ditahan. Kita masih mengesan barang kemas yang dicuri itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, kesemua enam suspek lelaki yang leka menebuk lubang di sebuah kedai gambar sebagai laluan masuk untuk menyamun kedai pajak bersebelahan, ditahan selepas sistem penggera kedai gambar itu berbunyi dalam satu kejadian di Sungai Way.

Mereka sebelum itu memecah masuk pintu belakang kedai kasut, kemudian menebuk lubang ke kedai gambar, sebelum cuba menebuk beberapa lubang lagi untuk masuk ke kedai pajak berkenaan.

Kesemua kedai itu terletak dalam satu deretan premis perniagaan dan turut berjiran dengan Balai Polis Sungai Way, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Tun Hisan berkata hasil siasatan turut mendapati sindiket 'Ops Tebuk' itu didalangi lebih daripada enam suspek, dengan modus operandi mereka menebuk dinding premis perniagaan berdekatan dengan lokasi sasaran rompakan.

Katanya kumpulan itu menggunakan mesin gerudi khas bernilai RM10,000 yang dibeli di ibu kota bagi menebuk dinding untuk memasuki premis seperti kedai pajak gadai, kedai emas atau bank.

"Mereka yang ditahan berumur antara 32 dan 53 tahun, dengan ada yang bekerja sebagai penarik kereta, pembantu kedai urut, penjual VCD. Ada juga yang mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan.

"Empat daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, dan dua lagi dalam 'wanted list' kerana kesalahan merompak. Kesemua mereka berasal dari Mentakab (Pahang), Segamat (Johor) dan Selangor.

"Kita percaya mereka terlibat dalam tujuh kes di Selangor seperti di Petaling Jaya, Gombak, Rawang, Shah Alam, Banting. Kita juga percaya kumpulan ini terlibat dalam kes seumpama itu di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Perak," kata Tun Hisan.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 8 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Berdasarkan pemeriksaan fail polis melibatkan modus operandi seumpama itu mendapati kumpulan tersebut juga terlibat dalam rompakan di sebuah bank di Seri Kembangan lima tahun lepas.

Katanya ada tangkapan yang telah dibuat terhadap anggota kumpulan yang besar itu pada tempoh tersebut, dan saki-bakinya sedang diburu.

Beliau turut menasihatkan pengusaha premis perniagaan supaya tidak cuai atau mengendahkan bunyi penggera yang berbunyi.

"Ini kerana terdapat beberapa kes mendapati, penjenayah telah berada di dalam premis, tetapi kerana pengusaha perniagaan beranggapan penggera memang selalu bunyi atau rosak lalu tidak mengendahkannya, walhal mereka sudah berjaya merompak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh hampir seminggu musim perayaan ini, sebanyak 30 kes pecah rumah di siang hari dilaporkan berlaku berbanding 65 kes pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

Manakala 91 kes pecah rumah pada waktu malam dilaporkan berlaku berbanding 101 kes dalam tempoh yang sama, katanya. - Bernama, SH

No comments:

Post a Comment