Search This Blog

Wednesday, September 7, 2011

Rugi RM10,000



TELUK INTAN - Sepasang warga emas kerugian RM10,000 apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng di Batu 9, Hutan Melintang, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa berusia 60-50 an sedang tidur di rumahnya dan tidak menyedari empat lelaki tersebut memecah masuk melalui pintu di bahagian dapur.

Menurutnya, sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, kumpulan perompak bersenjatakan parang dan pisau itu terus mengikat pasangan suami isteri tersebut serta mengugut akan mencederakan mereka jika berbuat sesuatu.

“Kerana takut, pasang itu menurut kehendak perompak yang merampas barang berharga milik mereka seperti gelang, rantai emas.

“Kami mempercayai geng ini mempunyai kaitan dengan kes jenayah yang sama di beberapa kawasan daerah ini berdasarkan modus operandi dilakukan dan kini polis giat mengesan keempat-empat lelaki tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak (IPD), semalam.

Kok Liang berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Sekyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, katanya, satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Langkap-Tapah, kelmarin.

“Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam, kelmarin seorang pelajar tingkatan tiga, meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Mangsa, Mohamad Izwan Busri dari Tronoh Mines, Air Kuning, Tapah, menunggang motosikal jenis Suzuki Best seorang diri dari arah Teluk Intan ke Tapah,” katanya.

Beliau berkata, Mangsa yang cuba membuat pusingan balik dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah yang sama.

Menurutnya, pada masa yang sama, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun telah merempuh belakang kereta lelaki pertama sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bagaimanapun kedua-dua pemandu itu tidak cedera.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Tapah,” katanya.

Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

No comments:

Post a Comment