Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Rezeki ditenggelami air



PENDANG - Keghairahan kira-kira 40 pesawah bawah program Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di kawasan Pondok Chegar, Tanjung Radin, Lahar Buaya dan Paya Kerchut di sini menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga bertukar suram apabila hampir 87 hektar sawah padi milik penduduk musnah ditenggelami air.

Seorang pesawah, Bakar Abdul Mutalib, 35, berkata, hampir empat hektar sawah milik keluarganya yang sudah berbuah dan menunggu masa menuai musnah ditenggelami air akibat hujan tidak berhenti sejak beberapa hari lalu.

Pihaknya menganggarkan jumlah kerugian hampir RM6,000 terpaksa ditanggung disebabkan kejadian itu selain bimbang tidak cukup modal untuk membeli semula benih padi.

“Selalunya, apabila hasil padi dituai, kami boleh mendapat kira-kira 12 tan metrik berdasarkan keluasan sawah yang dimiliki.

“Bagaimanapun, keadaan kali ini berbeza apabila kami hanya mampu menuai hasil padi tidak sampai setengah daripada jumlah pengeluaran biasa yang diperoleh.

“Kejadian ini sudah berlaku empat tahun berturut-turut dan kami terpaksa menyambut hari raya dengan suasana sederhana disebabkan terpaksa mencari modal menanam semula benih padi,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Banggol Besi, di sini semalam.

Seorang lagi pesawah, Ramli Ahmad, 51, berkata, kejadian sawah padi ditenggelami air pada tahun ini adalah di luar jangkaan kerana kebiasaannya masalah itu berlaku penghujung September sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan pesawah tidak menolak kemungkinan berlakunya kejadian itu lebih awal disebabkan sungai Tanah Merah yang tidak dibersihkan sehingga air hujan yang mengalir di sungai itu tersumbat dan menyebabkan paras air meningkat.

“Saya mohon jasa baik Mada untuk memberi bantuan sewajarnya kepada kami bagi memulihkan semula sawah yang tenggelam.

“Pada masa sama, saya berharap Mada dapat mencari inisiatif terbaik menyelesaikan masalah kenaikan air yang sering membelenggu kawasan padi di Pendang bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Badariah Hashim, 54, ketika ditemui menyuarakan kekesalan kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah disebabkan kejadian malang menimpa keluarganya.

“Saya berasa sedih. Sudahlah hasil tuai padi musnah ditenggelami air, malah tiga lembu milik saya turut dicuri sehingga menyebabkan persiapan hari raya kami terjejas teruk.

“Kami sekeluarga hanya menyambut raya secara ala kadar disebabkan terpaksa mengikat perut menyimpan modal menanam semula benih padi nanti. Jadi saya harap Mada tampil beri bantuan sewajarnya kepada kami,” katanya. SH

No comments:

Post a Comment