Search This Blog

Sunday, September 4, 2011

Remaja maut



PARIT BUNTAR - Seorang remaja maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Perusahaan dua, di sini, apabila tercampak ke dalam longkang selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa, Mohamad Ikramullah, 18, berasal dari Taman Kerian Jalan Anggerik, di sini, mengikut alamat akhir yang tertera pada MyKad mangsa.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di sebelah kanan jalan pada ketika kejadian sebelum melanggar kenderaan pacuan empat roda terbabit yang sedang membelok masuk ke kawasan kilang berhampiran.

“Dalam keadaan kelam kabut, motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan mangsa tidak sempat mengelak daripada melanggar bahagian tepi kenderaan pacuan empat roda terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak ke dalam longkang di hadapan sebuah kilang berhampiran dan seterusnya maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mat Fauzi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat hentakan kuat dan pendarahan dalaman termasuk di bahagian telinga dan hidung.

“Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarganya untuk disempurnakan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1687,” katanya.

No comments:

Post a Comment