Search This Blog

Saturday, September 10, 2011

Rayu bawa pulang ibu dari Vietnam



Oleh Meor Hisham Zulkifli

2011/09/10

Anak minta bantu mangsa sindiket pemalsuan kad kredit 

KUALA LUMPUR: Sudah lapan kali kami tidak dapat berhari raya dengan ibu. Kami merayu supaya ada pihak yang bersimpati dapat membantu membawa emak saya yang kini terkandas di Vietnam. 

Itu luahan Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 23, yang turut menitiskan air mata memohon bantuan Kelab Putera 1Malaysia, semalam.
Ibunya, Normazawati Wong Abdullah, 49, yang turut menghidap sakit kronik dan kesihatannya makin merosot, diperdaya kumpulan sindiket pemalsuan kad kredit pada 2004 sebelum akhirnya terpaksa merengkuk di dalam penjara selama enam setengah tahun sebelum dibebaskan Januari lalu.
Malangnya apabila sudah berada di lapangan terbang Ho Chi Minh untuk kembali ke tanah air, beliau sekali lagi ditahan atas alasan belum membayar denda hampir empat juta dong (RM60,500) menyebabkannya terus terkandas di bandar raya itu. 
Saya terpaksa menjual kereta malah apa saja yang berharga untuk membantunya. 

Ketika terkandas dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk menampung keperluan hidup selain membeli ubat kerana ibu saya menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. 

Kini saya mendapat tahu keadaan kesihatannya semakin merosot dan memerlukan lebih banyak wang untuk membeli ubat, kata kerani Bahagian Perhubungan Pelanggan Polis Diraja Malaysia di Petaling Jaya, Selangor. 
Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkata, sejak sekian lama dia berusaha mendapatkan bantuan termasuk beberapa kali hadir ke Kelab Putera 1Malaysia bagi memohon bantuan. 

Saya terpaksa menerima segala cemuhan membantu membawa pulang ibu. Ada pihak yang berkata, apa perlunya mereka tolong kerana ibu saya melakukan kesalahan. 

Tetapi ibu saya diperdaya dan diperalatkan sindiket. Ibu terpaksa menurut kata sindiket itu selepas mereka mengugut akan mencederakan kami adik beradik, katanya yang menjelaskan ketika ibunya ke Vietnam, dia terpaksa menjadi ketua keluarga membesarkan adik bongsunya berusia 13 tahun. 

Sementara itu, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya bersimpati terhadap nasib yang menimpa mangsa dan keluarga mereka serta kini berusaha mengumpul dana serta sumbangan pihak luar untuk membawa pulang Normazawati segera. 

Setakat ini kami sudah mengumpul kira-kira RM20,000 dan memerlukan kira-kira RM40,000 lagi untuk membayar denda bagi membolehkan Normazawati pulang. Kita harap akan ada dermawan yang sudi membantu dan turut sama menghulurkan sumbangan. 

Kita jangkakan dalam masa terdekat, beliau boleh dibawa balik ke Malaysia, katanya. 

No comments:

Post a Comment