Search This Blog

Saturday, September 10, 2011

Perhilitan rampas 132 ekor haiwan dari zoo swasta




Beberapa anggota Perhilitan membawa keluar harimau yang dirampas di Danga Bay Petting Zoo di Teluk Danga, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 9 Sept. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 132 ekor haiwan termasuk spesies yang dilindungi di sebuah zoo persendirian di Danga Bay Petting Zoo, Teluk Danga, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah 2 Perhilitan, Dr. Zaaba Zainol Abidin berkata, rampasan dilakukan selepas pemilik zoo yang beroperasi sejak 2005 itu gagal memperbaharui permit khas pemilikan.
Menurutnya, zoo itu gagal mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut selepas dipercayai melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, antaranya menyediakan kandang sempit dan tidak sesuai bagi setiap haiwan.
"Sebanyak 132 ekor haiwan termasuk yang dilindungi, antaranya seekor gajah, harimau (tiga) dan masing-masing dua beruang dan singa dirampas.
"Kesemua haiwan itu akan ditempatkan di beberapa lokasi, antaranya Zoo Melaka, Zoo Kemaman serta Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini hari ini.
Zaaba berkata, Perhilitan sebelum ini memberi peluang kepada pihak pengurusan zoo berkenaan untuk mengikuti segala peraturan di bawah akta baru itu, namun ia gagal dilaksanakan.
Menurutnya, seramai 45 anggota Perhilitan, Zoo Melaka dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terlibat dalam operasi tersebut bermula pukul 9.30 pagi itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Danga Bay Sdn. Bhd., Tan Teow Keat berkata, permit khas pemilikan zoo tersebut gagal diperbaharui setelah tamat, Mei tahun lalu.
"Sebelum ini kita buat rayuan kepada Perhilitan agar memberi lebih masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap zoo berkenaan seperti yang ditetapkan dalam akta baru itu, namun gagal.
"Permit zoo ini sentiasa diperbaharui pada setiap tahun, namun untuk akta yang baru diperkenalkan ini ia gagal dipenuhi.
"Kami akur dengan tindakan Perhilitan dan bercadang untuk memindahkan zoo ini ke Hutan Simpan Ulu Sedili yang berkeluasan kira-kira 40 hektar," katanya.
Semalam, Perhilitan turut merampas lima ekor haiwan yang dilindungi iaitu dua ekor anak gajah, dua Orang Utan dan seekor harimau di Zoo Johor kerana didapati gagal mengikut peraturan yang ditetapkan oleh jabatan tersebut.
Pada 20 Jun lalu, Perhilitan Johor merampas lebih 60 ekor haiwan di Zoo Saleng, Senai, juga kerana gagal memperbaharui permit khas itu.

No comments:

Post a Comment