Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Pemuda cedera ditembak

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Seorang pemuda dikejarkan ke hospital setelah cedera terkena dua das tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan 45A/26, Taman Sri Rampai di sini semalam.
Difahamkan, mangsa terkena tembakan di punggung dan kaki setelah dia bersama empat rakannya bertindak menyerang tiga anggota polis yang didakwa memecah cermin kereta mereka.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi semasa pemuda itu bersama rakan-rakannya mengunjungi pusat hiburan terbabit yang turut dikunjungi tiga anggota polis berkenaan.
Semasa mahu pulang, mereka mendapati cermin kereta pecah lalu membawa parang dan batang besi untuk menyerang tiga anggota polis terbabit yang didakwa bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
Semasa diserang, anggota polis terbabit cuba mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan yang kemudian terkena pada punggung dan kaki salah seorang daripada lima pemuda berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lima pemuda berusia lingkungan 20-an itu mendakwa cermin kereta mereka dipecahkan oleh anggota polis.
"Mereka kemudian menyerang anggota polis terbabit dengan batang besi dan parang menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertahankan diri.
"Berikutan kejadian itu, kita menahan tiga anggota polis dan tiga orang awam untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, keenam- enam mereka yang ditahan semalam direman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad.
Sementara itu, keadaan pemuda yang terkena tembakan itu dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Ampang dekat sini.-utusan

No comments:

Post a Comment