Search This Blog

Wednesday, September 14, 2011

Pelajar IPT beli petrol

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Seri Iskandar, Perak bagi membantu siasatan berhubung penemuan yang mayat seorang remaja perempuan rentung di kawasan semak di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan, Ampang pada Isnin minggu lalu.
Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin, selepas diberkas berhampiran tempat pengajiannya itu kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama.

Polis menemui beberapa bukti fizikal seperti rambut yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan berkenaan di dalam kereta jenis Perodua Kancil suspek serta telefon bimbit milik mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal mendapati suspek membeli petrol di dua stesen minyak di Ampang yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa selepas dibunuh.

“Suspek mengambil jurusan sarjana muda ukur bahan dan berasal dari Ukay Perdana, Ampang ditahan di luar kampus pada jam 12 tengah hari semalam (kelmarin).

“Mangsa yang dikenali sebagai Nurul Awatif Syakir berusia 19 tahun menuntut di Maahad Tahfiz At-Tijarah, Selayang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.


Ditanya motif pembunuhan berkenaan, Tun Hisan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenainya termasuk hubungan suspek dengan mangsa.

“Yang pasti suspek dan mangsa saling mengenali. Bagaimanapun, kami belum pasti sejauh mana hubungan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment