Search This Blog

Friday, September 9, 2011

Menyamar kakitangan JKM



SEGAMAT - Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai kakitangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat pemeriksaan di rumah bagi mendapatkan bantuan dari jabatan berkenaan.

Pegawai JKM Daerah Segamat, Khairu Asri Ismail berkata, JKM telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai menyatakan kononnya ada :kakitangan jabatan berkenaan yang datang ke rumah dan membuat pemeriksaan di beberapa tempat serta terus mengambil :kesempatan untuk mencuri, sedangkan JKM tidak melakukan perkara sebegitu.

Menurutnya, antara aduan yang telah JKM terima seperti pada tahun lepas di Pekan Jabi, di sini, dan yang terbaru pada tahun ini di Kampung Chodan, Pogoh 3, selain beberapa aduan yang menyatakan hal sama berlaku.

“Aduan terbaru kita terima daripada seorang wanita berumur lingkungan 75 tahun yang didatangi seorang lelaki ke rumahnya dengan menaiki motosikal.

"Lelaki itu mengaku dari JKM dan mahu memeriksa keadaan rumahnya yang dilanda banjir awal tahun ini.

“Setelah masuk ke dalam rumah, lelaki itu meminta butiran peribadi dengan alasan bantuan akan disalurkan dan sekiranya tidak bekerjasama, ia menjadi masalah apabila mangsa datang ke pejabat JKM,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Khairu Asri berkata, JKM tidak akan menyalurkan bantuan atau mengarahkan mana- mana pihak lain atau wakil untuk mengambil butiran peribadi selain daripada kakitangan yang telah dilantik khas untuk melaksanakan tugasan berkenaan.

“Perkara ini boleh mengelirukan pandangan sesetengah orang yang telah tertipu dengan tindakan penyamaran ini dan kita juga simpati dengan mangsa yang kebanyakan adalah warga emas.

“JKM menasihatkan kepada orang ramai untuk menghubungi atau datang terus ke pejabat JKM bagi mendapatkan pengesahan sebelum mempercayai individu lain walaupun kita difahamkan individu itu turut menggunakan nama sebenar kakitangan yang bertugas di JKM ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment