Search This Blog

Friday, September 9, 2011

Letupan mahkamah India: Tiga individu ditahan untuk soal siasat


Pegawai Agensi Risikan Kebangsaan India (NIA) memeriksa dan mengumpul bukti dari lokasi pengeboman di Mahkamah Tinggi New Delhi yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 80 yang lain di New Delhi, semalam. - AFP



SRINAGAR 8 Sept. - Polis India hari ini menahan tiga orang termasuk pemilik sebuah kafe Internet di Kashmir, India bagi membantu soal siasat berhubung satu emel yang didakwa dihantar oleh pihak bertanggungjawab di atas serangan bom di Mahkamah Tinggi New Delhi semalam.
Pegawai kanan polis berkata, pihaknya menahan pemilik kafe Internet di wilayah Kishtwar, Kashmir di mana emel itu dipercayai dihantar awal pagi semalam.
Pihak berkuasa India kini menyiasat dakwaan dibuat kumpulan militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan gabungan al-Qaeda di Pakistan dan Bangladesh, Harkat-ul-Jihad Islami (HUJI) melalui emel tersebut.
HUJI sebelum ini juga mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan-serangan di India.
Dalam emel yang dihantar kepada Agensi Risikan Kebangsaan India (NIA) itu, ia meminta India mengkaji semula hukuman mati yang dikenakan terhadap seorang lelaki dalam satu serangan ke atas Parlimen pada 2001.
Ia juga memberi amaran akan melancarkan serangan dengan menyasarkan mahkamah utama di India jika permintaan itu tidak dipenuhi.
Sumber keselamatan di Kashmir meragui kemungkinan HUJI mendalangi serangan terbaru itu kerana kumpulan militan tersebut lagi tidak aktif sejak kebelakangan ini dan tidak akan menggunakan Internet di kafe siber untuk menghantar emel.
Ilyas Kashmiri yang dipercayai dibunuh di Pakistan baru-baru ini oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), merupakan ketua HUJI dan anggota kanan al-Qaeda.
Kerajaan India dikecam kerana gagal mengambil pendekatan keselamatan yang mencukupi di lokasi berprofil tinggi termasuk mahkamah itu terutama selepas serangan bom berlaku beberapa hari sebelum ulang tahun serangan 11 September 2011 di AS.
Serangan bom juga pernah dilancarkan di mahkamah tinggi tersebut pada Mei lalu namun tiada kecederaan dilaporkan. - Reuters
-UTUSAN

No comments:

Post a Comment