Search This Blog

Friday, September 9, 2011

Kerani bebas pertuduhan

KUALA LUMPUR: “Saya dijadikan sebagai kambing hitam hingga dituduh di mahkamah. Sebenarnya ada dalang di sebalik kejadian ini,” kata bekas kerani sebuah pasar raya besar di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Zulkhairi Abdullah, 28, berkata demikian selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah membabitkan 150 kampit beras bernilai hampir RM10,000 milik sebuah pasar raya, dua tahun lalu.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Tertuduh dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan kemeja ungu kelihatan gembira selepas mendengar keputusan mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan, Zulkhairi sebagai pekerja pasar raya itu didakwa pecah amanah dengan memberikan 150 daripada 480 kampit berat jenis Jasmine Super kepada pekerja Jasmine Food Corporation Sdn Bhd untuk dijual tanpa kebenaran pasar raya itu.


Kejadian didakwa berlaku di pasar raya berkenaan di Taman Setiawangsa di sini pada jam 8.30 pagi, 24 Disember 2008 dan jam 10.40 pagi, 27 Disember 2008.

Bagi kesalahan itu, dia yang berasal dari Pendang, Kedah didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan tiga sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas empat hari Zulkhairi bekerja di situ.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aishah KM Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Noor Ariff Delia.

Seramai 11 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.

No comments:

Post a Comment