Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Kastam rampas wang seludup



PADANG BESAR – Kastam Diraja Malaysia Perlis berjaya merampas sejumlah RM253,000 wang tunai yang cuba diseludup seorang penoreh getah warga Thailand di pintu masuk Kompleks Imigresen di sini, kira-kira 12.45 petang kelmarin.

Pengarah Kastam Negeri, Mohd Pudzi Man berkata, sepasukan pegawai yang bertugas di unit pemeriksaan penumpang membuat pemeriksaan terhadap kenderaan jenis ‘pick up’ yang melalui lorong van import untuk ke Malaysia.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menjumpai empat bungkusan yang mengandungi wang kertas yang disorok dengan nilai Ringgit Malaysia di bawah tempat duduk bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, dari alasan yang diberi, penoreh getah berumur 24 tahun berkenaan memaklumkan wang yang dibawanya itu adalah untuk kegunaan membayar hutang.

Tetapi, katanya, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan wang itu dan tidak ikrar wang berkenaan dalam Borang Kastam 22.

“Berikutan kegagalannya mengemukakan dokumen berkaitan wang itu, kita merampas wang tunai berkenaan serta menahan penoreh getah terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Pudzi berkata, atas kes bereknaan, empat lelaki iaitu tiga warga Malaysia dan seorang warga Thailand dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut 23 (1) AMLATFA (Akta pendegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan) 2001 dan bersabit di bawah akta ini boleh dihukum di bawah seksyen 23 (2) AMLATFA yang mana denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Malah, kes juga disiasat di bawah seksyen 4 (1) AMLATFA iaitu terlibat dengan pengubahan wang haram dan jika disabitkan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Turut disiasat diawah seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 membawa masuk barangan larangan import yang jika sabit kesalahan boleh dihukum dibawah seksyen 135 (1)(i)(iii)(aa) iaitu denda minimum 10 kali ganda nilai dan maksimum tidak melebihi 20 kali ganda nilai atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment