Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Hilang tiga anak, cucu



PASIR AKAR – Aidilfitri kali ini disambut suram oleh Zabedah Teh, 50, apabila keluarga besarnya berkurangan selepas tiga anaknya lelaki dan seorang cucunya meninggal serentak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 67.5 jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh, Setiu pada 31 Oktober tahun lalu.

Bagi Zabedah, ketika umat Islam lain bergembira menanti hari lebaran itu, tetapi dia berasa sangat hiba sekali untuk menempuhi hari gembira itu memandangkan seramai enam insan tersayang pergi meninggalkannya buat selama-lama pada tahun sama tahun lalu.

Ketabahan diuji lagi

Katanya, selain tiga anak dan seorang cucunya meninggal dunia sekali gus, terdahulu sebelum itu iaitu pada 27 Januari tahun lalu, dia sudah melalui hari sedih apabila suami tercinta, Sidek Omar terlebih dahulu dijemput Penciptanya.

Belum pun kering air mata dengan pemergian insan terbabit, lima hari kemudian, ketabahannya diuji lagi apabila ibu tersayang, Bunga Dollah pula menyusul pergi.

“Pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu saya sudah sambut hari lembaran itu tanpa suami dan ibu tercinta dan tahun ini dugaan lebih hebat kerana empat lagi tiada menjadikan enam semuanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Cina, di sini dekat Hulu Besut.

Tiga anaknya yang meninggal dunia dalam kemalangan itu termasuk Noorazydyelwy Sidek, 32, Noor Azry Elmy, 29 dan Noor Afzan Efizaman Sidek, 16 serta cucunya Nor Amysha Maisarah iaitu anak Nor Azry Elmy.

Dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dengan sebuah van kira-kira 1.30 petang itu menyebabkan ketiga-tiga anak Zabedah mati di tempat kejadian, manakala cucunya meninggal di hospital.

Tidak boleh dengar lagu raya

Zabedah berkata, dia kini langsung tidak boleh mendengar lagu hari raya yang didendangkan menerusi corong radio atau televisyen.

“Kalau dengar lagu hari raya, saya akan matikan radio kerana kalau tidak saya akan menangis semahunya kerana terkenangkan mereka. Saya berusaha gagahkan diri dan menerima ketentuan Tuhan, tetapi entah kenapa air mata ini mahu juga mengalir.

“Sebab itu sekarang saya suka duduk sunyi dan tidak membuka radio kerana tidak dapat menghadapi kesedihan itu,” katanya yang kini tinggal lima anak berusia sembilan hingga 32 tahun.

Menurutnya, mana mungkin mudah untuk dia melupakan anak tercinta terutama Noorazydyelwy kerana ketika hayatnya dia paling kuat berceloteh, malah sering membantunya dari pelbagai sudut termasuk kewangan.

Kini bagi mengubati rindu pada insan itu, saban minggu terutama pagi Jumaat dia akan menziarahi kubur mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bual.SH

No comments:

Post a Comment