Search This Blog

Thursday, September 15, 2011

Banjir di Perlis kian pulih




SEORANG lelaki (baju biru) membawa ahli keluarganya menaiki sampan yang sarat dengan kanak-kanak dan orang dewasa ke Kampung Bahor Pulai, Kangar, semalam. - BERNAMA


KANGAR 14 Sept. - Jumlah mangsa banjir di Perlis terus berkurangan dengan sebanyak 383 mangsa daripada 98 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan yang kesemuanya di kawasan Kangar sehingga pukul 5 petang ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata, setakat ini 1,040 mangsa daripada 252 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak Isnin dan 17 pusat pemindahan telah ditutup.
Lebih ramai mangsa dijangka dibenarkan pulang sehingga malam ini berikutan cuaca cerah dan keadaan banjir yang semakin surut di semua kawasan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut melawat kawasan yang dilanda banjir hari ini dan bertemu 80 mangsa banjir daripada 17 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan di surau Tebing Tinggi.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengarahkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis agar terus bersiap sedia dan berjaga-jaga bagi menghadapi bencana banjir di negeri itu.
Menurut beliau, JKM di peringkat negeri dan daerah telah bersedia daripada pelbagai aspek untuk membantu mengsa banjir.
"Persediaan merangkumi urusan pengagihan bantuan makanan dan perlindungan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat walaupun keadaan kini terkawal.
"Persediaan rapi ini juga dirancang bagi memastikan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan dapat dibantu sepenuhnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini keperluan asas telah diberikan oleh JKM kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan dan bantuan keperluan asas yang diberikan adalah seperti barangan makanan kering, tuala, selimut, tikar dan kit bencana. - Bernama

No comments:

Post a Comment