Search This Blog

Friday, September 9, 2011

Bangkai ikan penuhi sungai



PONTIAN - Ribuan ikan mati dengan bangkainya yang timbul dan terdampar di Sungai Chengkeh, Kampung Sungai Chengkeh, di sini, awal pagi semalam, dipercayai akibat daripada air sungai yang tercemar.

Bukan itu sahaja, dalam tinjauan yang dilakukan di sepanjang sungai itu turut mendapati hidupan lain seperti siput, ketam dan lokan juga ditemui mati.

Seorang penduduk Abdul Hamid Ahmad, berkata, kejadian itu adalah pertama kali berlaku melibatkan keseluruhan Sungai Chengkeh yang berhubung terus dengan Sungai Pulai.

Menurutnya, sejak menjadi nelayan, itulah kejadian terburuk pernah berlaku yang mengakibatkan nelayan terjejas mata pencarian.

“Sehari sebelum kejadian, penduduk ada memberitahu banyak udang terdampar di tepi sungai, tetapi hari ini (semalam), ikan pula yang menjadi mangsa.

“Selain itu, hidupan laut lain seperti ketam, lokan dan sebagainya turut mati di kawasan bakau di pesisir sungai ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, air sungai turut tercemar berdasarkan kepada bau airnya yang busuk dan berwarna hitam yang dipercayai punca hidupan air di sungai terbabit mati.

Sementara itu, Ismail Johor berkata, kebanyakan yang mati itu adalah anak-anak ikan dan keadaan itu merisaukannya mengenai kesan jangka panjang terhadap mata pencariannya sebagai seorang nelayan.

“Habis semua ikan belanak, tilapia, sembilang, siding, kitang dan mati, termasuk anak-anak ikan yang masih kecil,” katanya.

Dia juga percaya ikan-ikan itu mati akibat keracunan berdasarkan kepada insang ikan yang kebiruan dan agak keras.

Sehubungan dengan itu, nelayan di kawasan Sungai Chengkeh meminta tindakan segera diambil bagi mencari punca sebenar kejadian dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu supaya kejadian yang sama tidak berulang.

Ketua Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Chengkeh, Wahab Hussein, 65, yang ditemui di Tanjung Bin berkata, pihaknya berasa kesal dan kecewa dengan keadaan yang berlaku di sungai terbabit.

“Kejadian ini adalah yang paling teruk dan menjejaskan punca rezeki kira-kira 50 nelayan di sini,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta agar pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Alam Sekitar dapat memberikan penjelasan.

Sementara itu, Ketua Perikanan Daerah Pontian, Sidek Adnan berkata, pihaknya telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar dari Johor Bahru dan siasatan yang lebih terperinci akan dilakukan.

Beliau turut mengambil contoh air dan akan diserahkan kepada bahagian penyelidikan Jabatan Perikanan di Gelang Patah.

“Perkara ini masih lagi dalam siasatan bagi mencari punca sebenar ikan-ikan mati di Sungai Chengkeh ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment