Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Ayam dalam mulut ular sawa



TUMPAT – Seorang penternak, Ahmad Ismail, 38, tidak menduga bunyi bising ayam dalam reban rupa–rupanya isyarat kehadiran tetamu tidak diundang mengancam ayam-ayamnya.

Lebih mencemaskan, sebaik menghampiri reban itu, seekor ayamnya sedang berada dalam mulut ular sawa itu yang agak agresif.

Bagaimana pun, khuatir boleh mengancam keselamatannya, dia menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat untuk menangkap ular itu.

Pegawai Unit Daerah Tumpat, Mohd Fuad Ismail berkata, anggota JPAM ke lokasi kejadian di Kampung Jambu, Chabang Empat di sini setelah menerima panggilan pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, situasi tegang apabila ular sawa sempat menelan ayam peliharaan Ahmad itu, tetapi akhirnya tewas hasil tindakan pantas anggota JPAM menangkapnya yang agak kekenyangan bersembunyi dalam reban itu.

“Operasi diketuai Nurul Izzati Che Aziz bersama tiga anggota mengambil masa hampir setengah jam menangkap ular itu apabila menghadapi kesukaran untuk memasukkan ular tersebut ke dalam guni.

“Tiga kali cubaan memasukkan ular ke dalam guni gagal apabila guni tersebut koyak berikutan tidak mampu menampung berat ular itu hampir 100 kilogram (kg) dan panjangnya lapan meter,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru–baru ini.

Menurutnya, bagaimana pun operasi berjalan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan ular yang berjaya ditangkap akan diserahkan ke Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

““Orang ramai yang ingin meminta bantuan JPAM boleh menghubungi 09-7254215,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment