Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

‘Abang jaga ibu’

JASIN: Seorang wanita tidak sempat bekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Merlimau, di sini, apabila dia maut dalam kemalangan sejurus selesai temu duga di kilang berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi, mangsa, Sarahliza Khamis, 21, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Putat Benteng di Sungai Rambai, di sini, apabila motosikal Honda EX-5 dinaikinya bertembung sebuah lori tiga tan jenis Mercedes Benz.

Berikutan itu, mangsa terperosok di bawah lori terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Hasrat anak keempat daripada lima adik beradik itu untuk naik pelamin pada Februari tahun depan tidak kesampaian.

Abang mangsa, Mohd Sobri, 26, berkata dia tidak menyangka pesanan adiknya supaya menjaga ibunya, Asnah Jamal, 63, pada malam kelmarin menjadi pesanan terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya.

Katanya, pada malam sebelum kejadian, Sarahliza memberitahu dia akan menghadiri temu duga di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Merlimau di sini.


“Arwah selalu berpesan kepada saya supaya menjaga emak dan banyak mengingatkan saya, lebih-lebih lagi saya bakal mendirikan rumah tangga pada November depan.

“Peringatan itu saya anggap sebagai biasa saja dan tak sangka pesanan malam tadi (kelmarin) menjadi yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Merlimau, di sini, semalam.

Menurut Mohd Sobri, sejak beberapa minggu lalu Sarahliza terlalu ceria walaupun ada kalanya dia agak serius dan mendiamkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku selepas lori yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun itu keluar dari persimpangan dipercayai tidak menekan brek dan membelok ke arah kanan.

“Mangsa yang gagal mengelak kenderaan terbabit melanggar badan lori itu sebelum terperosok di bawahnya menyebabkan dia parah di kepala maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment