Search This Blog

Friday, September 2, 2011

6 rompak kedai pajak gadai dicekup

Inilah kedai pajak gadai yang cuba dimasuki oleh enam perompak
 di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 1 Sept. - Enam perompak yang sedang asyik menebuk dinding sebuah kedai gambar untuk memasuki kedai pajak gadai bersebelahan di Sungai Way di sini awal pagi ini dicekup polis setelah terperangkap apabila alat penggera keselamatan premis itu berbunyi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, suspek yang menaiki tiga buah kereta termasuk sebuah Mercedes Benz merancang memecah masuk kedai pajak gadai yang terletak di hujung bangunan kedai tiga tingkat itu dengan menebuk tiga lubang dari dua premis bersebelahan.
Suspek berjaya memasuki premis pertama iaitu kedai kasut dengan memecah pintu belakang dan membuat dua lubang pada dinding di dalam kedai terbabit untuk membolehkan mereka masuk ke kedai gambar di sebelah.
Setelah memasuki kedai gambar, mereka sekali lagi membuat satu lubang sebagai laluan ke kedai pajak gadai di sebelahnya dan ketika itulah alat penggera keselamatan berbunyi.
Bunyi bising tersebut mengejutkan seorang lelaki yang tidur di sebuah premis terletak di tingkat dua lalu menghubungi polis.
Lelaki terbabit yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu, dia sedang nyenyak tidur apabila tiba-tiba dikejutkan bunyi bising alat penggera keselamatan di kedai gambar yang terletak di bawah kediamannya.
"Mendengar alat penggera itu berbunyi saya berasa curiga lalu menghubungi polis dan sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Way yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian terus datang menjalankan siasatan.
"Semasa polis tiba, semua suspek masih berada dalam kedai gambar dan mereka yang dikepung akhirnya dapat ditangkap," katanya.
Sementara itu, sumber memberitahu, suspek menebuk premis dan menggunakan alat vakum lantai untuk membuang batu-bata bagi mengelakkan ia dikesan.
Katanya, pemeriksaan polis menemui pelbagai peralatan digunakan untuk menebuk dan menggerudi bersama suspek di tempat kejadian.
Tambahnya, lantai kedai kasut dan gambar juga ada kesan basah kerana mesin gerudi terbabit menggunakan air untuk mengurangkan bunyi bising dan memudahkan proses penggerudian.
"Suspek juga bertindak merosak dan mencabut beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.
"Polis turut menemui beberapa kamera, wang tunai dan telefon bimbit dalam beg dibawa suspek dipercayai dicuri dari kedai gambar tersebut," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment