Search This Blog

Friday, September 2, 2011

32,000 saman dikeluar di KLIA, LCCT

SEPANG 1 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 21,000 saman membabitkan kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan balai ketibaan dan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, sejumlah 11,000 saman pula dikenakan ke atas pemilik kenderaan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk tempoh sama membabitkan kesalahan serupa.
Menurutnya, secara purata 3,000 saman sebulan dikeluarkan di KLIA manakala 1,500 saman sebulan di LCCT melibatkan kenderaan persendirian atau komersial.
"Masalah kesesakan lalu lintas di depan terminal KLIA dan LCCT ini bukan isu baru. Punca utama kesesakan ialah orang awam meletakkan kenderaan mereka sesuka hati tanpa mengira tempat termasuk di depan balai ketibaan dan balai berlepas.
"Jika mereka hanya menurunkan atau mengambil penumpang, itu tidak mengapa tetapi sebaliknya mereka meletakkan kenderaan di kaki jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
"Kita hanya memberi masa 15 minit dan jika kenderaan tidak dialihkan, tindakan saman akan dikenakan," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Menurut Imran, pihak polis akan meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan dari semasa ke semasa di KLIA dan LCCT bagi memastikan setiap kenderaan diletakkan di kawasan yang dibenarkan.
"Saya juga berharap orang ramai peka dengan keadaan semasa bagi memastikan tiada kesesakan berlaku terutama di balai ketibaan dan berlepas di KLIA dan juga LCCT," katanya.
Mengulas mengenai keadaan jenayah di Sepang, beliau menjelaskan, sehingga kini kes jenayah di Sepang dalam keadaan terkawal tetapi mengingatkan masyarakat berwaspada dengan segala keadaan dan mengelakkan melakukan sebarang aktiviti yang akan menyumbang kepada aktiviti jenayah.-utusan

No comments:

Post a Comment