Search This Blog

Wednesday, September 7, 2011

2,600 VCD, DVD haram bernilai RM26,000 dirampas


Para pegawai Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memeriksa sebahagian daripada VCD yang dirampas di Dungun, kelmarin.



DUNGUN 6 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) merampas 2,600 keping cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) dalam serbuan di sini semalam.
Rampasan bahan cetak rompak bernilai RM26,000 itu hasil serbuan yang disasarkan ke atas dua premis di Pekan Paka sebelum dua lagi serbuan di sekitar pusat bandar ini.
Operasi selama lima jam mulai 6.30 petang itu membabitkan seramai 12 anggota diketuai Timbalan Pengarah PPDNKK Terengganu, Abdul Ghani Harun.
Abdul Ghani berkata, operasi di Dungun ini dibuat sempena Ops Raya selepas pihaknya menerima laporan awam dan rampasan ini merupakan rampasan terbesar di daerah ini.
"Sepanjang operasi tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku dan pemilik premis memberi kerjasama yang baik dan mereka tahu mereka telah melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, keempat-empat pemilik premis serta empat pekerja mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan untuk diambil keterangan lanjut.
Kata beliau, pengusaha premis VCD dan DVD terbabit dipercayai mengambil stok yang banyak kerana beranggapan ia begitu laris disebabkan orang ramai ingin menonton semasa cuti musim perayaan.
"Kesemua pe ngusaha akan disiasat di mengikut Perintah Perihal Dagangan Label Cakera Optik 2010 yang boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 dan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.
Abdul Ghani berkata, PPDNKK akan membuat pemantauan berterusan terhadap premis yang diserbu itu serta akan bertindak merampas dan mendakwa mereka lagi sekiranya terus berdegil.

No comments:

Post a Comment