Search This Blog

Friday, September 2, 2011

2 lemas dipukul ombak



Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi dan Rudy Syareme Sheriffudin

2011/09/02

Usaha pak cik selamat anak saudara berakhir tragedi

BALIK PULAU: Kegembiraan tiga keluarga meraikan cuti Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas dipukul ombak kuat ketika berehat di atas batu di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Abdul Razak Osman, 32, dan anak saudaranya, Abdullah Mukmin Ahmad Nasir, 12, dikatakan terjatuh ke laut ketika duduk di atas batu bersama dua lagi ahli keluarga mereka.
Bapa Abdullah Mukmin, Ahmad Nasser Osman, 42, berkata ketika kejadian beliau bersama anaknya, Abdul Razak dan abang Abdul Razak, Abdul Lateh sedang berehat di atas batu itu.
“Tiba-tiba kami dipukul ombak kuat menyebabkan kami berempat, termasuk kedua-dua mangsa terjatuh ke laut hingga menyebabkan semua kelam-kabut menyelamatkan diri. 

“Saya keletihan dan berusaha berenang ke tepi, tetapi tidak mampu untuk menyelamatkan Abdullah yang belajar di Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Pulau Betong sebelum Abdul Razak berenang untuk membantunya. 

“Kelibat Abdul Razak yang cuba menyelamatkan Abdullah dapat dilihat tetapi hilang selepas ditelan ombak kuat hingga menyebabkan kedua-dua mereka tidak dapat diselamatkan. 

“Beberapa minit kemudian usaha mencari dijalankan dan kedua-dua mereka ditemui masih hidup oleh anggota polis dan Pasukan Bomba dan Penyelamat, tetapi dalam keadaan lemah dan nadi masih berdenyut-denyut. 
“Kedua-dua mereka kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau. Doktor cuba memberi bantuan kecemasan tetapi kedua-dua mereka disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya yang masih trauma berikutan kejadian itu. 

Beliau berkata, jenazah Abdullah Mukmin akan dikebumikan di Pulau Betong, manakala Abdul Razak pula akan disemadi di Kampung Perlis pagi ini. 

Sementara itu, Abdul Lateh berkata, arwah tidak berapa sihat kerana demam dan baru saja pulang dari Pahang. 

“Kami tidak menyangka percutian ini akan membawa tragedi kerana kehilangan dua orang tersayang secara serentak,” katanya. 

Di PORT DICKSON, seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter ketika ibu bapanya sedang menunaikan solat Maghrib berhampiran pantai Batu 10 di sini, Selasa lalu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Nur Zahira Mohammad Arif Yap, sedang bermain di kawasan berhampiran sebelum dikatakan terjatuh ke dalam longkang tidak berpenutup dan dihanyutkan ke pantai berhampiran.

Bapa mangsa, Mohammad Arif Yap, 40, berkata dia meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran pantai Batu 10 untuk menunaikan solat di tepi jalan bersama isteri dan tiga saudara lain. 

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Buang Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.18 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota. bharian

No comments:

Post a Comment