Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Abang maklum adik maut sebab dihempap pokok



KOTA BHARU- Abang kepada mangsa remaja yang mengusahakan ladang getah dan pisang di Gua Musang yang meninggal dunia Rabu lalu memaklumkan kes kematian itu disebabkan dihempap pokok.

Abangnya, Zubir Wan Daud, 27, berkata, setelah membuat laporan baru di Balai Polis Kubang Kerian, di sini Khamis lalu, jenazah kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat di sana.

Arwah adiknya, Wan Mohd Helmi Wan Daud, 24 meninggal dunia dalam kejadian ribut dan dihempap pokok semasa dalam perjalanan dari Chiku 5 ke Gua Musang pada Selasa lalu bersama dua lagi rakan.

Bagaimanapun, sehari setelah arwah koma dan diwadkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, rakan yang terselamat itu memberitahu arwah dipukul menyebabkan pihak keluarga mahu punca kematian disiasat.

“Setelah bedah siasat itu dijalankan, Unit Forensik HRPZ II mengesah dan memaklumkan punca kematian adalah disebabkan dihempap pokok.

“Kami reda dengan keputusan yang dilakukan, sekurang-kurangnya ahli keluarga berpuas hati setelah bedah siasat dijalankan dan pengesahan ini mengelak kekeliruan yang timbul sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintang, Setiu, Terengganu jam 9.30 pagi kelmarin.

Kelmarin lalu, Sinar Harian melaporkan keluarga minta punca kematian Wan Mohd Helmi disiasat bagi mengelak kekeliruan setelah pada mulanya dikatakan maut akibat dihempap pokok, namun rakan yang terlibat sama dalam kemalangan mengatakan mangsa dipukul.

Koma selepas lahirkan anak



ULU JEMPOL – “Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya”. Hanya itu yang mampu diungkapkan bagi menggambarkan penderitaan ibu muda beranak dua, Rosmawati Abd Wahab, 32, yang koma sejak setahun lalu selepas menjalani pembedahan melahirkan anak keduanya.

Menurut ibu saudaranya, Roslina Harun berkata, anak saudaranya yang mesra dipanggil Wati bekerja sebagai kerani di salah sebuah sekolah dekat Melaka sebelum ini mengalami masalah jantung namun tidak kritikal.

“Ketika mengandung anak kedua, dia mengalami masalah darah tinggi dan tidak sedarkan diri ketika kandungan mencecah sembilan bulan seterusnya dirujuk ke Hospital Besar Melaka bagi menjalani pembedahan menyelamatkan kandungannya.

“Selepas pembedahan Wati tidak sedarkan diri malah dia tidak sempat menyusukan anaknya dan kini dia yang terlantar bergantung harap sepenuhnya dengan bantuan orang lain,” katanya.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar diusahakan keluarga supaya Wati dapat kembali pulih seperti sediakala memandangkan bayinya juga memerlukan perhatian kerana turut dilahirkan kurang normal ekoran komplikasi yang dialami ketika dilahirkan.

“Bayi kedua Wati tidak normal seperti bayi lain dan terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu malah Wati pun turut bergantung hidup dengan susu khas disalurkan melalui tiub yang ditebuk di lehernya.

“Kini Wati menjalani rawatan susulan dan terapi di Hospital Bandar Jengka sekali sebulan dan kami terpaksa menyewa van untuk membawa dia ke hospital,” katanya.

Roslina berkata, Wati tidak menerima sebarang bantuan namun ada pihak bermurah hati menderma mesin untuk menyedut lendir dalam lubang leher yang ditebuk ketika dia menjalani rawatan di Hospital Besar Melaka dahulu.

“Setiap tiga bulan sekali, Wati perlu menemui pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) malah pakar turut memberi harapan bahawa Wati ada peluang untuk sembuh.

“Kami sekeluarga berdoa supaya Wati sembuh dan menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak sulung Wati tinggal bersama suaminya yang masih bekerja di Melaka dan akan pulang menjenguknya di kampung selang beberapa minggu manakala anak bongsu Wati kini tinggal bersama ibunya di Jengka 16.

Ibu saudaranya yang menetap di Felda Ulu Jempul kini bergilir menjaga Wati ekoran Wati membesar dengan arwah neneknya yang juga peneroka di sini.

Wati kini terpaksa menggunakan lampin pakai buang serta susu khas dengan kos RM63 yang hanya mampu bertahan untuk lima hari.

Wati sebelum ini turut menerima kunjungan Puteri Umno Bahagian Maran serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang turut menyampaikan bantuan.

Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) daerah Maran turut menyampaikan sumbangan kepada Wati sekeluarga baru-baru ini bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Laungan selamatkan nyawa



KUALA PILAH – Laungan meminta tolong menyelamatkan seorang warga emas dari menjadi mangsa curi walaupun dia dipukul di kepala dengan sebatang dahan pokok rambutan oleh pencuri.

:Mangsa, Khalijah Idiris, 61, berkata, ketika kejadian pada Jumaat lalu jam 2 petang, dia seorang diri memberi makan kepada kambing-kambing di belakang rumah di Kampung Pilah Tengah.

Menurutnya, dia seorang diri manakala suaminya pergi menunaikan solat Jumaat dan pada waktu ini keadaan sunyi kerana jiran tiada.

“Saya ternampak kelibat seorang lelaki di rumah saya dan menegur tujuan lelaki berkenaan hadir ke ditu.

“Kemudiannya lelaki itu lari entah ke mana dan saya mengesyaki dia hendak mencari besi buruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), dekat sini.

Khalijah berkata, selepas selesai memberi kambing makan, dia masuk ke dapur untuk ke bilik air.

“Namun, secara tiba-tiba kepala saya dipukul sehingga berdarah. Saya terkejut, rupa-rupanya lelaki tadi bersembunyi di belakang pintu dapur dan masuk melalui pintu hadapan rumah.

“Saya bergelut dengan lelaki itu untuk melepaskan diri, namun dia terlalu kuat. Lelaki itu cuba merampas gelang emas di tangan saya, namun tidak berjaya dan dan dalam masa sama, saya menjerit dan meminta tolong jiran menghubungi polis sebelum pencuri terbabit melarikan diri,” katanya.

Namun selang beberapa minit katanya, pencuri itu kembali semula menendang pintu belakang yang ketika itu sudah pun berkunci.

“Sekali lagi saya menjerit sekuat hati dan pencuri itu melarikan diri mengikut jalan yang baru siap dibina.

“Selepas itu saya keluar dalam keadaan darah di muka meminta pertolongan jiran mencari suami agar pulang dengan segera,” katanya.

Katanya, selang beberapa minit suaminya pulang dan menghantarnya ke hospital berdekatan.

“Saya ditahan di wad kecemasan memandangkan tekanan darah saya naik mendadak dan perlu ditahan di wad buat sementara waktu sehingga darah kembali stabil.

“Saya bersyukur masih selamat dan kepala tidak retak hanya dahi terpaksa menerima 15 jahitan,” katanya.

Gempar jalan raya mendap



PUCHONG – Menggemparkan apabila jalan di Taman Kinrara Seksyen 5/1 di sini dikatakan tiba-tiba mendap dan membentuk kawah besar menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya, petang kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian cuaca baik dan tiada sebab yang boleh mengakibatkan lubang selebar tiga meter di tengah-tengah jalan antara dua pangsapuri di sini menjadi mendap sehingga sedalam lima meter.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi pada jam 10 pagi, semalam mendapati lubang itu semakin membesar jika dibandingkan dengan pemerhatian dilakukan pada jam 1 pagi hari yang sama.

Kejadian pada jam 2 petang kelmarin itu hingga kini masih belum dapat dikenal pasti puncanya, namun Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui kontraktor dilantik giat mengkaji.

Penolong Pengarah (Kanan) Jabatan Kejuruteraan MPSJ, Ir Mohd Arifuddin Kamari berkata, selepas menerima aduan berhubung perkara itu, pemantauan dilakukan dan kontraktor segera ke tempat kejadian.

“Kita akan besarkan lubang dan masukkan batu kerikil untuk melihat sama ada berlaku pergerakan tanah atau tidak di permukaan bawah.

“Majlis juga akan memanggil beberapa agensi termasuk Indah Water Konsortium (IWK) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya memaklumkan kawasan terbabit adalah bekas kawasan lombong.

Katanya, pemerhatian awal mendapati tiada pengaliran air bocor di kawasan itu.

“Ini adalah kejadian pertama di sini dan kita harap ia bukan tanah jerlus,”katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian MCA, Datuk Wong Hock Aun yang meninjau tempat kejadian awal pagi semalam berkata, MPSJ harus melakukan kajian terperinci mengenai kejadian itu.

“Bagi penduduk, mereka disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Taman Kinrara Seksyen 3 atau melalui Jalan Merbok untuk ke Taman Kinrara Seksyen 5.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Teresa Kok Suh Sim pula berkata, pihaknya berharap kejadian hanya terhad di laluan itu sahaja dan tidak mengakibatkan kawasan persekitaran

Menurutnya, Jabatan Geologi dan Mineral (GMG) perlu dipanggil melakukan pemantauan bersama-sama kontraktor MPSJ mencari punca bagaimana ia berlaku.

Nampak wajah perempuan




DARAT PAK CHAN – “Saya nampak imbasan (bayangan) wajah seorang perempuan sebelum kenderaan ini bertembung,” kata pemandu kepada Allahyarham Datuk Awang Jabar, Abdul Razak Awang, 66, yang terselamat dalam nahas jalan raya di Kampung Alor Tuman.

Abdul Razak yang ditahan selama empat hari di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dibenarkan pulang kelmarin, selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada 20 September lalu.

Abdul Razak terselamat dalam nahas jalan raya itu yang mengorbankan bekas Setiausaha Parlimen di Kementerian Belia dan Sukan, Allahyarham Datuk Awang Jabar yang juga merupakan rakan baiknya sejak 30 tahun lalu.

Turut terkorban dalam kemalangan itu, seorang warganegara Yaman, Nesmah Nabil Abdul Karem Al-Saiban, 25, yang menaiki kenderaan jenis Perodua Alza dipandu Mohamad Hassan Ali selepas bertembung dengan Mercedes Benz dipandu Abdul Razak.

Dalam kejadian pada jam 7.10 pagi itu, Abdul Razak bersama Allahyarham sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan untuk menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Dungun.

Mengulas lanjut, Abdul Razak yang ditemui Sinar Harian di rumahnya di Desa Permai di sini, semalam, berkata, dia seolah-olah berada di dunia lain (bermimpi) namun tersedar semula selepas bayangan itu hilang dari pandangan matanya.

“Perempuan itu juga melarang saya melalui jalan ini tetapi peringatannya itu sudah terlalu hampir dengan tempat kejadian. Sejurus kemudian saya gagal mengawal kenderaan apabila muncul sebuah kenderaan di hadapan sebelum bertembung,” katanya.

Abdul Razak, berkata, kenderaan jenis Perodua Alza itu dipandu dengan laju dan gagal memasuki lorongnya semula selepas memotong menyebabkan kenderaan jenis Mercedes Benz yang dipandunya bertembung dan terbabas di tepi jalan.

Menurutnya, berikutan pertembungan itu, dia mengalami kecederaan pada dahi, mata dan rusuk kiri serta tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke HSNZ, Kuala Terengganu.

“Namun saya reda dengan apa yang berlaku. Ini sebab, kejadian ini sudah ketentuan-Nya dan pada malam sebelum kejadian, arwah juga seolah-olah tidak sabar untuk ke Dungun serta kerap berpesan agar saya tidak lupa mengambilnya di Kuala Terengganu.

“Malah arwah juga berpesan agar saya membawa baju lebih untuk solat di rumahnya Kampung Dendang (Bukit Besi),” katanya mengimbau semula perbualannya melalui telefon bersama Allahyarham pada malam sebelum kejadian.

Dalam pada itu, Razali berkata, selain sikap pemandu yang cuai dan faktor jalan sempit di lokasi kejadian juga menyumbang berlakunya kemalangan di kawasan itu.

Mat rempit tak serik dicekup



BANDARAYA MELAKA - Tindakan mat rempit yang tidak serik-serik melakukan kegiatan lumba haram mendorong anggota trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan sekatan jalan besar-besaran sempena hujung minggu, awal pagi Sabtu dan semalam.

Sepanjang operasi bersepadu dua hari berturut-turut itu, beberapa pemilik kenderaan turut kelihatan melarikan diri daripada sekatan, bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan peranca-ngan rapi polis dengan menutup laluan-laluan tertentu.

Dalam operasi di tiga lokasi berasingan di negeri ini, sebanyak 368 kenderaan diperiksa di Lebuh AMJ dekat Semabok, awal pagi Sabtu lalu, sementara 229 kenderaan di Jalan Persimpangan Eye On Malaysia dekat Kota Laksamana dan Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kenderaan termasuk dua buah kereta disita kerana pelbagai kesalahan; antaranya tidak mempunyai cukai jalan dalam operasi bermula 2 pagi sehingga 7 malam.

Ketua Operasi, Pegawai Penguat kuasa Trafik Melaka Tengah, Cif Inspektor Mohd Saharudin Mohd Nor berkata, polis dan JPJ mengeluarkan sebanyak 89 saman pada Sabtu, manakala 68 lagi dikeluarkan semalam.

“Pemeriksaan juga dapat mengesan 10 pengguna jalan raya mempunyai waran tangkap atas kesalahan tidak hadir ke mahkamah dan mereka ini ditahan sebelum dituduh di mahkamah pada 28 September depan.

“Kesemua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua ditahan kerana masing-masing positif dadah dan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Operasi bersepadu itu turut disertai tujuh pegawai serta 132 anggota polis trafik dari Melaka, Bukit Aman, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dibantu 20 anggota JPJ.

Kesemua penunggang motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan juga diarah mengusung motosikal mereka sejauh kira-kira lima kilometer ke IPD Melaka Tengah.

Penyeludup rokok kecundang



ALOR GAJAH - Tindakan pantas sepasukan anggota Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM 5, berpengkalan di Kuala Linggi, berjaya menumpaskan sebuah bot pancung yang cuba menyeludup masuk rokok haram di persisiran pantai berhampiran Perkampungan Portugis, Banda Hilir, awal pagi kelmarin.

Dalam operasi khas APMM kira-kira jam 2.05 pagi itu, seramai 12 anggota APMM termasuk dua pegawai bertugas dalam operasi terbabit yang dijalankan di perairan Selat Melaka menerima maklumat berhubung sebuah bot pancung mencurigakan di tengah perairan.

Ketua Operasi APMM, Leftenan Komander Maritim Mohd Suhairy Hussin berkata, sebanyak 2,700 karton rokok pelbagai jenis berjaya dirampas termasuk sebuah bot pancung dan enjin digunakan untuk memuatkan sejumlah rokok jenis Gudang Garam Surya, Semporna dan Dji Sam Soe.

Menurutnya, dalam operasi khas ini, bot peronda APMM berjaya mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di perairan tersebut sebelum mendekati dan melakukan tindakan pantas menuju laju ke arah bot berkenaan.

“Kedua-dua mereka dipercayai dari Bengkalis, Indonesia dikesan di perairan Pulau Undan menuju ke Persatuan Nelayan Kampung Nelayan Sungai Duyung.

“Bot pancung membawa muatan rokok pelbagai jenis itu dikesan dari Pulau Undan ketika berada di Pulau Panjang sebelum dua bot APMM iaitu Petir 84 dan Kilat 45 dengan kekuatan 12 anggota termasuk dua pegawai mengambil langkah mengepung dan memintas bot terbabit,” katanya.

Mohd Suhairy berkata, tembakan cahaya turut dilepaskan bagi menghalang bot berkenaan dari terus mara, namun kedegilan mereka terus menuju ke persisiran pantai hampir merempuh dua sampan nelayan yang sedang menjaring ikan serta dua nelayan yang berada di persisiran pantai mencari udang geragau.

“Setelah hampir kira-kira 15 minit berlaku aksi mengejar, anggota kami berjaya menemukan sebuah bot pancung yang ditinggalkan di tepi pantai dekat situ dan tekong serta awak-awak terbabit dipercayai melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Setelah diperiksa, bot pancung tersebut membawa sejumlah 2,700 karton berisi rokok kretek pelbagai jenis dengan nilai serta cukai dianggarkan sebanyak RM160,000 dan keseluruhannya bernilai RM220,000 termasuk bot dan enjin,” katanya.

Katanya, ketika bot itu ditemui, kesemua rokok yang diletakkan di dalam guni tadi ditutupi dengan hamparan plastik hitam dan kanvas di atasnya bagi mengaburi mata anggota operasi, malah terdapat dua lagi bot lain pada malam itu dipercayai menghala ke selatan.

“Operasi dan pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mematahkan kegiatan penyeludupan keluar dan masuk pelbagai kesalahan lain dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya ditemui selepas tamat operasi.

Mayat lelaki lemas ditemui



KAJANG – Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas ketika memancing di Sungai berhampiran Batu 9, dekat sini Rabu lalu ditemui terapung di Sungai West Country, Seksyen 5, Bandar Baru Bangi, semalam.

Mayat berkenaan ditemui terapung oleh orang awam kira-kira jam 10.30 pagi dalam keadaan tertiarap dan tersangkut dicelah ranting pokok serta sampah sebelum bertindak memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, setelah dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu, polis segera ke tempat kejadian bersama anggota penyelamat lain termasuklah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan bomba.

“Ketika ditemui keadaan mayat sudah bengkak dan hasil pengecaman dari kakak mangsa yang dipercayai lemas dalam kejadian Rabu lalu mengesahkan bahawa mayat adalah Ng Lee Thian yang merupakan adiknya.

“Mayat dibawa ke hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan dalam kejadian Rabu lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang memancing di sungai berhampiran Tol Batu 11, dekat sini berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipercayai lemas dalam sungai berkenaan.

Kehilangan mangsa, yang masih belum berkahwin dan tinggal bersama bapanya di Taman Indah Batu 9, Cheras hanya disedari oleh bapanya, Ng Yoke Seng selepas mangsa tidak pulang ke rumah sejak keluar memancing.

Curi duit bapa tiri untuk joli



KUALA TERENGGANU - Walaupun menyedari bapa tirinya hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak memiliki banyak wang, namun seorang gadis masih sanggup mencuri duit milik bapa tirinya semata-mata untuk ‘berjoli’ dengan teman lelaki.

Bagaimanapun, tindakan gadis itu terbalas setelah dijatuhi hukuman tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Fieda Azwa Anual, 19, dari Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu mengaku bersalah mencuri wang tunai sejumlah RM1,900 milik bapa tirinya, Marzuki Rani, 50, pada 24 September lalu kira-kira jam 11 malam di rumahnya di Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu.

Mengikut fakta kes, bapa tirinya hanya menyedari wang tunai RM1,900 yang disimpan di dalam rumah berkenaan hilang pada 21 September lalu kira-kira jam 11 malam, namun pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa.

Keesokan harinya iaitu 22 September, kira-kira jam 12.30 tengah hari, bapa tiri bersama ibu tertuduh telah keluar dari rumah dan pulang semula ke rumah kira-kira jam 1.30 petang dan mendapati tiga anaknya iaitu adik tiri tertuduh yang masih kecil ditinggalkan di rumah sepupunya.

Sepupunya memberitahu yang tertuduh telah lari dari rumah dan bapa tirinya mengesyaki tertuduh yang mencuri wangnya sejumlah RM1,900 itu.

Pada 24 September lalu, kira-kira jam 8 pagi, bapa tiri tertuduh bersama anggota polis telah membuat serbuan di tingkat tiga Hotel Terengganu, dan mendapati tertuduh ada bersama dengan seorang lelaki tidak dikenali, dipercayai teman lelakinya.

Setelah disiasat, didapati tertuduh telah menyewa hotel berkenaan dari 22 September hingga 23 September lalu dan apabila disoal siasat, dia mengakui telah mencuri wang tunai milik bapa tirinya itu.

Dengan itu, Fieda Azwa didapati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Anak Dustan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ugut sembelih jika pecah rahsia rogol



KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki bukan sahaja melakukan jenayah rogol terhadap remaja lembam, malah turut mengugut mahu menyembelihnya jika mangsa membocorkan kejadian itu.

Bapa kepada lima anak itu sanggup menjadikan anak birasnya yang juga seorang remaja orang kurang upaya (OKU) kategori lembam sebagai ‘alat’ pemuas nafsu dengan merogol mangsa dalam satu kejadian pada 21 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dia akhirnya menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh, 33, dari Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu mengaku bersalah mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan melakukan kesalahan itu terhadap mangsa, 13 tahun satu bulan pada 21 Ogos lalu kira-kira jam 4 petang di bangsal kebun limau, Kampung Peroh, Ajil, Hulu Terengganu.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Masriwani Mahmud di hadapan hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut fakta kes, pada 24 Ogos lalu kira-kira jam 5.30 petang, ibu mangsa yang ketika itu berada di rumah di Jalan Pasir Akar, Kampung Gong Duek, Jertih, Besut telah menerima panggilan telefon daripada adik perempuannya memberitahu anaknya disyaki dirogol.

Ini sebab, mangsa dilihat sentiasa memegang kemaluannya dan sering mengadu sakit di bahagian itu, tetapi apabila ditanya, mangsa enggan menceritakan hal sebenar dan hanya mendiamkan diri.

Selain itu, adiknya turut mengesyaki mangsa dirogol selepas mendapati kemaluan mangsa mengalami bengkak dan merah ketika mandi bersamanya.

Lalu, bimbang perkara buruk mungkin berlaku terhadap anak saudaranya itu, kakaknya disuruh segera pulang ke rumah mereka di Felda Jerangau Barat, Ajil untuk menyoal mangsa sendiri.

Keesokan harinya iaitu 25 Ogos lalu kira-kira jam 8 malam, ibu mangsa telah pulang dan terus menyoal mangsa. Setelah dipujuk, mangsa memberitahu dia telah dirogol oleh tertuduh, iaitu adik ipar bekas suaminya di bangsal kebun limau di kampung Peroh, Ajil, Hulu Terengganu selepas membawa dia bersiar-siar.

Bukan itu sahaja, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, tertuduh turut mengugut akan menyembelih mangsa jika memberitahu perkara itu kepada orang lain.

Tak sempat mula tugas baru



BATU BELAH - Impian seorang pengurus memulakan tugas baru di sebuah kilang di daerah ini tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan di Jalan Batu Belah, beberapa meter daripada Tol Bukit Raja, di sini kira-kira jam 12.45 pagi semalam.

Mangsa dikenali P Sivanesan, 44, ketika kejadian dalam perjalanan menghala ke Jalan Kapar menaiki kereta jenis Proton Iswara bersama anak lelaki dan isterinya.

Mangsa yang juga merupakan adik kepada Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Balai Klang Selatan, Sarjan P Thayalan, maut di tempat kejadian, sementara isteri dan anak lelakinya berusia 16 tahun mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Thayalan ketika ditemui memaklumkan, mendiang akan memulakan tugas di tempat baru hari ini dan baru tiba dari Melaka beberapa bulan lalu.

"Sebelum kejadian, dia baru sahaja pulang dari kediaman saya di Berkeley selepas sembahyang di kuil berdekatan rumah sempena Perayaan Tahunan penganut Agama Hindu.

"Kira-kira jam 2 petang, dia sudah tiba di rumah, setelah beberapa jam menghabiskan masa di kuil dan kediaman saya, dia kemudiannya pulang ke rumahnya di Lintang Sungai Keramat, Taman Klang Utama kira-kira jam 12 malam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di bilik mayat HTAR, di sini.

Thayalan berkata, dia hanya mengetahui insiden itu sebaik menerima panggilan daripada isteri mendiang yang memaklumkan mereka terlibat dalam kemalagan.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan terkejut mendapati adik bongsu saya daripada 11 beradik meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, mending tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, malah suka bersembang dan tersenyum seolah-olah tiada apa yang akan berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kemalangan dipercayai berlaku hanya beberapa meter daripada tol apabila sebuah kereta Perodua Alza secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Keadaan itu mengakibatkan rempuhan berlaku menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan.

"Siasatan awal polis juga mendapati kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun itu terlebih dahulu merempuh sebuah Perodua Myvi yang berada di hadapan kereta mangsa," katanya.

Zawary berkata, mangsa cedera parah di dada maut di tempat kejadian, sementara isteri, anaknya serta pemandu Myvi cedera ringan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Kereta terjunam dalam gaung



RAUB – Seorang lelaki maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala selepas kereta dinaikinya terbabas dalam kemalangan di Jalan Cheroh – Gesing pada jam 2.30 pagi, semalam.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, mangsa lelaki Orang Asli berusia 41 tahun berasal dari Pos Satak, Ulu Sungai.

Menurutnya, siasatan mendapati Yuzaini Pandak berkhidmat di Kem Wardieburn dekat Setapak, Kuala Lumpur.

“Mangsa dipercayai bersama dua rakannya dalam perjalanan dari Pos Satak ke Sega mengikuti Jalan Cheroh – Gesing.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa tidak dapat dikawal ketika cuba mengelak daripada jalan yang sedang dibaiki,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, pemanduan mangsa yang gagal dikawal mengakibatkan kenderaan dinaiki mereka terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar pokok sawit.

Katanya, berikutan perlanggaran itu juga kereta terjunam ke dalam gaung dan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Dua rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

“Orang ramai disaran supaya memandu pada tahap kelajuan bersesuaian dengan suasana persekitaran jalan raya supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999 untuk menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan keamanan setempat.

Ditahan ragut rantai leher kekasih

KUANTAN – Seorang lelaki ditahan selepas teman wanitanya membuat laporan polis berhubung tindakannya meragut rantai leher dan mencuri pemain cakera video digital (DVD) wanita berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata, mangsa yang berusia 43 tahun ini hanya membuat laporan polis semalam selepas dua minggu merayu teman lelakinya itu memulangkan semula rantai leher dan pemain DVD berkenaan.
"Kejadian ragut itu berlaku pada 11 September lepas apabila teman lelakinya itu datang ke rumah mangsa kira-kira 7.30 pagi sebelum bertindak meragut rantai mangsa dan melarikan pemain DVD milik wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, berikutan laporan itu, polis berjaya menahan suspek yang berusia 30 tahun, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, di rumah suspek di Batu 3, Jalan Gambang semalam.
"Siasatan awal mendapati rantai leher milik mangsa telah dijual suspek bagaimanapun pemain DVD itu masih disimpannya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jumlah kerugian mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat itu dianggarkan bernilai RM3,000. – Bernama

Remaja maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjata parang

IPOH: Seorang remaja maut selepas ditetak sekumpulan lelaki di kawasan perusahaan Menglembu di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa K Pirathibaraj, 19, dari Taman Buntung di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Katanya, dalam kejadian 8 malam tadi itu, mangsa yang menunggang motosikal dikejar oleh sekumpulan lapan lelaki yang menaiki empat motosikal berhampiran simpang empat lampu isyarat Falim, Menglembu.
"Mangsa kemudian dikepung dan kumpulan lelaki itu menyerang dengan menetak di kepala dan badan dengan parang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kumpulan itu kemudian melarikan diri selepas mangsa terbaring di atas jalan manakala polis yang menjalankan siasatan ke tempat kejadian menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan oleh kumpulan berkenaan.

"Motif kejadian belum diketahui dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah bahawa siasatan juga mendapati mangsa tidak mempunyai kes jenayah sebelum ini.

Polis melancarkan gerakan memburu kumpulan berkenaan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. - BERNAMA 

Pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal dakwa dipukul polis

JITRA: Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang, dekat sini, pada 11.30 pagi, Sabtu lalu.
Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ. "Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.

"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.

"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab. Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.

Dia berkata, dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.

"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam. Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata, beliau menerima laporan tentang kejadian itu.

"Kita sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - BERNAMA 

Enam lelaki ditahan miliki dadah di sekitar Besut

BESUT: Polis menahan enam lelaki berumur antara 17 dan 32 tahun kerana memiliki pil kuda dan dadah jenis heroin dalam tiga lokasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Besut pada hari Rabu dan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata dalam serbuan pada kira-kira 8.10 pagi Rabu lalu, seorang buruh berumur 25 tahun yang menetap di Kampung Tasik Tok Lebai dekat Jabi, di sini, ditahan selepas polis menjumpai dadah jenis pil kuda (dadah jenis methamphetamine) di rumahnya.
"Hasil pemeriksaan lanjut dibuat di dalam rumahnya, polis menjumpai sebanyak 95 biji pil kuda, daripada jumlah itu 40 biji berada dalam kocek seluarnya dan baki 55 pil berada di bilik tidur," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Renek di sini dipercayai bergerak aktif dalam pengedaran pil kuda sejak lima bulan lalu turut didapati positif methaphermine dalam ujian air kencing terhadapnya.

Suspek disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, pada serbuan kedua pada Khamis, 4.20 pagi, polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun.
Kesemua yang ditahan berumur antara 17 dan 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Puteri dekat Kuala Besut di sini, katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu 41 biji pil kuda dan satu botol mengandungi serbuk putih dipercayai heroin ditemui di dalam rumah didiami empat lelaki tersebut.

"Empat lelaki ini masing-masing disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 39A(1) Akta yang sama dan 15(1) ADB selepas polis mendapati tiga daripada suspek didapati positif dadah dalam ujian air kencing manakala pelajar sekolah itu didapati negatif dalam ujian tersebut," katanya.

Pada serbuan ketiga yang dilakukan pada 5 pagi, Khamis, polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun di sebuah rumah kawasan perumahan di Kampung Raja, di sini.

Suspek ditahan kerana disyaki terbabit dalam satu kes samun di Bachok, Kelantan, beliau juga turut memiliki 58 biji pil kuda dan dua botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

Dia disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB dan 15(1) ADB serta polis juga menjumpai sebilah parang di dalam kereta Proton Wira miliknya. - BERNAMA 

Seorang pelajar IPTA dituduh membunuh

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar IPTA di Seri Iskandar, Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas tuduhan membunuh seorang pelajar wanita dari Maahad Tahfiz di Selayang, awal bulan ini.

Muhammad Khairi Nor Aziz, 19, yang hadir ke mahkamah dengan berkopiah menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham ke atas tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa membunuh Nurul Awathif Mohd Shakir, 19, di rumahnya di nombor B-119 Pangsapuri Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Ampang antara jam 9 malam, 4 September 2011 dan jam 2.15 pagi, 5 September 2011.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 November depan untuk pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Rasuah: SPRM buka 26 kertas siasatan

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membuka 26 kertas siasatan berhubung kes rasuah bermula Januari hingga 22 September tahun ini yang melibatkan pegawai kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional, kumpulan sokongan, pekerja sektor swasta dan orang awam.
Pengarah SPRM Kedah, Mohamad Yusoff Akope berkata, dalam tempoh itu, SPRM menerima 600 maklumat berhubung rasuah dan hanya 339 maklumat yang boleh diklasifikasi sebagai kes berunsur rasuah.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, pihaknya menahan 12 orang melibatkan dua pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, lima penjawat awam kumpulan sokongan dan lima orang awam melibatkan nilai rasuah berjumlah RM92,506.
"Satu tangkapan melibatkan kes orang awam yang memberi rasuah kepada penjawat awam dan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17B Akta SPRM 2009.
"Kami juga mengalu-alukan penjawat awam supaya membuat aduan segera jika terdapat orang awam yang cuba memberi rasuah kepada mereka dalam usaha SPRM membanteras rasuah di kalangan penjawat awam di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri SPRM di Bangunan Persekutuan di sini hari ini.
Mohamad Yusoff berkata, pada tahun ini, sebanyak 14 pertuduhan dibuat terhadap 10 individu melibatkan kes tahun sebelum ini dan kes semasa. – Bernama

Keputusan bebaskan 5 lelaki diketepikan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan lima lelaki membela diri atas tuduhan membunuh selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang melepas dan membebaskan mereka.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwa supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membebaskan lima orang itu tanpa diminta membela diri.
Hakim Zaleha berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat wujud kes prima facie terhadap Rasdi Ngasiman, 29; Samsudin Muhammad Yusuf, 29; Zaini Sabtu, 26; Zainal Sabtu, 28; dan Mohd Yazid Tukimin, 28.
Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mereka membela diri.
Lima lelaki itu adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 November 2007, kerana kematian Md Ridzuan Jumaat, 19, di padang permainan di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor Bahru.
Bagaimanapun, pihak pendakwa meneruskan rayuan hari ini terhadap lima orang itu selepas ia tidak dapat menyerahkan notis pendengaran rayuan pada empat yang lain. – Bernama

Kanak-kanak berumur lima tahun maut disengat tebuan



BESUT – Seorang kanak-kanak berumur lima tahun maut selepas disengat tebuan ketika membonceng motosikal bersama ibu dan adiknya di Kampung Pengkalan Nyireh di sini pada 1 petang semalam.

Menurut ibunya, Rakiah Ismail, 31, kejadian itu berlaku ketika beliau mengambil mangsa, Tengku Hafizul Hafiq Tengku Anuar dari Tadika Tanjung Demong yang tidak jauh dari rumahnya.

"Allahyarham membonceng di belakang saya manakala adik perempuannya berumur dua tahun berada di bahagian hadapan motosikal dan apabila menghampiri rumah, saya melalui sebuah sarang tebuan yang telah lama bersarang di dahan sebatang pokok.

"Tanpa dijangka, scara tiba-tiba ratusan tebuan menyerang kami dan walaupun dalam kesakitan saya menyuruh Hafizul lari menyelamatkan diri ke rumah jiran saya," katanya.

Ketika Hafizul berlari untuk menyelamatkan diri ke arah rumah jiran, tebuan terus menyengat di badan dan kepalanya, kata Rakiah.

Beliau bersyukur kerana seorang lagi anaknya tidak mengalami kecederaan teruk walaupun disengat 10 ekor tebuan kerana bertudung manakala dirinya sendiri disengat tiga ekor tebuan di bahagian tangannya.

Jiran menghantar mereka ke Hospital Besut di Jerteh, bagaimanapun, Hafizul meninggal dunia jam 5 petang dengan 50 kesan sengatan tebuan di seluruh badan dan kepala, kata Rakiah.

Ketika kejadian, suaminya, Tengku Anuar Tengku Hussin, 34, yang bekerja sebagai nelayan tidak berada di rumah kerana menangkap ikan di laut.

Rakiah berkata jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar pada 10 pagi tadi. -- BERNAMA

Warga bangladesh dituduh cabul pelajar kolej swasta

KUALA LUMPUR -- Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencabul seorang pelajar wanita kolej swasta, enam hari lepas.

Pekerja pasar raya Md Kamruzaman Chansarif, 28, didakwa mencabul kehormatan dengan memeluk dan mencium pipi pelajar berusia 19 tahun itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Tingkat 5, Kolej Segi, No. 33-35, Jalan Hang Lekiu, Dang Wangi di sini kira-kira 12.30 tengah hari, 20 September lepas.

Md Kamruzaman yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak memohon kepada mahkamah untuk diikat jamin atas alasan tiada penjamin.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan 31 Oktober untuk sebutan kes dan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor D.R Ghanthi Nathan. -- BERNAMA

Suami mangsa lif terhempas buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Suami wanita hamil tujuh bulan yang patah kaki kanannya selepas terbabit dalam kejadian lif terhempas di Pusat Beli-belah Selayang Mall dekat sini membuat laporan polis malam tadi.

Noor Fahmi Izwan Othman, 25, membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 11.00.
"Saya membuat laporan polis kerana merasakan berlaku kecuaian di pihak pengurusan pusat beli-belah itu sehingga terjadinya insiden semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, unit pengurusan pusat beli-belah itu, Seal Incorporated Berhad (SIB) ketika dihubungi menafikan laporan sebuah akhbar bahawa kejadian itu berpunca daripada kabel yang putus.

Pengurus Promosinya Desmond Ting berkata:

"Kita sudah memeriksa kabel itu dan ia masih dalam keadaan baik. Bagaimanapun pada masa ini kita sedang menunggu laporan konsultan kita yang lebih pakar untuk mengetahui laporan dan punca sebenar kejadian ini."

Katanya, jika kabel itu putus, orang yang berada dalam lif boleh menerima nasib lebih buruk termasuk cedera parah dan maut.
Beliau berkata, pihak konsultan lif sudah melakukan pemeriksaan terhadap lif berkenaan pada 6 pagi tadi.

Noor Fahmi dan isterinya, Norazlina Mohd Yusoff, 25, bersama enam lagi anggota keluarganya serta beberapa individu lain sedang menaiki lif itu untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah bila nahas itu berlaku pada kira-kira 5.00 petang.

Ketika itu, lif berkenaan berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang lain sebelum tiba-tiba berhenti di tingkat 'G' tanpa pintu terbuka.

Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah.

Ketua Polis IPD Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mengenai kejadian itu. - BERNAMA 

Kaki judi mungkin dituduh



GEORGETOWN - Semua mereka yang ditahan kerana berjudi ketika serbuan di premis perjudian berkemungkinan akan dikenakan tindakan undang-undang, bukan sekadar dijadikan saksi seperti dilakukan sebelum ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, sebelum ini memang ada peruntukan undang-undang untuk menuduh pemain di premis perjudian namun ia tidak dilaksanakan dan mereka dijadikan saksi.

Ayub berkata, terdapat peningkatan jumlah serbuan di lokasi perjudian di negeri ini jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu.

Dari Januari hingga Ogos tahun ini, 1,718 serbuan dibuat, 631 orang ditahan dan 6,416 set komputer yang mengandungi perisian perjudian dirampas. Dalam tempoh yang sama tahun lalu, 641 serbuan dibuat, 271 orang ditahan dan 1,972 set komputer dirampas.

Dalam perkembangan lain, Ayub berkata, polis kini sedang giat mengesan mana-mana premis perjudian yang tidak mempunyai lesen dalam usaha membanteras perjudian haram.

Menurutnya, memandangkan masyarakat masih tidak serik walaupun banyak tangkapan telah dibuat, polis kini giat menjalankan operasi melibatkan anggota dari Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) serta Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Kita melancarkan operasi di banyak lokasi dengan menumpukan kepada tiga lokasi ‘panas’ perjudian iaitu Timur Laut, Barat Daya serta Seberang Jaya Tengah (SPT).

“Sebanyak 30 sasaran sudah dikesan yang melibatkan beberapa kawasan antaranya Jelutong, Lebuh Chulia dan Lebuh Macallum," katanya.

Remaja maut ditetak kumpulan bersenjata parang

Seorang remaja maut selepas ditetak sekumpulan lelaki di kawasan perusahaan Menglembu di Ipoh malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa K Pirathibaraj, 19, dari Taman Buntung di Ipoh meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Katanya, dalam kejadian 8 malam semalam itu, mangsa yang menunggang motosikal dikejar oleh sekumpulan lapan lelaki yang menaiki empat motosikal berhampiran simpang empat lampu isyarat Falim, Menglembu.

"Mangsa kemudian dikepung dan kumpulan lelaki itu menyerang dengan menetak di kepala dan badan dengan parang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kumpulan itu kemudian melarikan diri selepas mangsa terbaring di atas jalan manakala polis yang menjalankan siasatan ke tempat kejadian menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan oleh kumpulan berkenaan.

"Motif kejadian belum diketahui dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah bahawa siasatan juga mendapati mangsa tidak mempunyai kes jenayah sebelum ini.

Polis melancarkan gerakan memburu kumpulan berkenaan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan.

- Bernama

JPJ: 40 saman dalam sejam




ABDUL Rahman Emang Anyie menunjukkan kesalahan sebuah treler membawa muatan melebihi had panjang pada Operasi Pengarah di Gong Badak, semalam.


KUALA TERENGGANU 25 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengeluarkan sebanyak 40 saman terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas dalam tempoh hanya satu jam dalam operasi Ops Pengarah di sini hari ini.
Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 30 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap.
Menurutnya, jumlah tersebut boleh disifatkan agak tinggi dan pihaknya yakin dapat mengesan lebih banyak kesalahan yang dilakukan pengguna kenderaan sekiranya operasi itu dilakukan sepanjang hari atau waktu puncak.
"Kita bukan sahaja mencari kesalahan pemandu atau pengguna jalan raya tetapi turut menasihat dan mengingatkan mereka," katanya di sini hari ini.
Operasi melibatkan kira-kira 50 anggota itu dijalankan di dua lokasi iaitu Jalan Kubang Badak yang menuju ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta berhadapan UMT.
Abdul Rahman memberitahu, pihaknya turut mengesan beberapa kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan yang tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan tali pinggang serta kesalahan berkaitan plat kenderaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ negeri telah menahan tujuh buah lori yang didapati membawa muatan berlebihan sejak dua hari lalu.
habis

Kumpulan militan serang askar di selatan Filipina, 15 terbunuh



ZAMBOANGA 25 Sept. - Seramai 13 penyerang dan dua askar marin terbunuh apabila sekumpulan militan menyerang askar kerajaan yang mengawal tapak pembinaan sebuah sekolah di selatan Filipina, hari ini.
Kira-kira 50 lelaki bersenjata menyerang dua detasmen marin di pekan Talipao, wilayah Sulu pada Subuh hari ini, mencetuskan pertempuran sengit selama dua jam mengakibatkan 13 anggota militan dan dua askar marin terbunuh, kata Komander Marin, Kolonel Romeo Tanalgo.
Enam askar lain cedera sebelum penyerang berpecah dan melarikan diri ke dalam hutan, katanya.
Penyerang dipercayai terdiri militan muda yang dilatih oleh kumpulan Abu Sayyaf dan anggota radikal yang berpecah daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).
Mereka telah membentuk sebuah kumpulan baru dikenali sebagai Awliyah yang diketuai seorang komander bernama Hatib Zacaria yang mahu mencipta nama menerusi keganasan, kata jurucakap tentera wilayah, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang.
Pasukan marin memantau kumpulan baru itu sejak kira-kira setahun lalu.
Pertempuran tersebut turut menyebabkan kenduri kahwin penduduk Islam di Talipao tergendala, mencetuskan kemarahan ramai penduduk di situ.
Askar kerajaan merampas tujuh raifal M16 milik militan dan memburu penyerang yang melarikan diri. - Agensi

Pesawat Buddha Air terhempas, 19 terkorban



KATHMANDU 25 Sept. - Seramai 19 penumpang dan anak kapal terkorban apabila sebuah pesawat Buddha Air terhempas di kaki gunung berhampiran Kathmandu, semalam.
Pesawat Beechcraft itu yang membawa 10 penumpang warga India, tiga pelancong asing, tiga warga tempatan dan tiga anak kapal warga Nepal terhempas ketika hujan lebat dan dalam keadaan berkabus di Godavari, kira-kira 10 kilometer dari Kathmandu.
"Pesawat Buddha Air-103 itu terhempas di Gunung Kotdada ketika dalam perjalanan balik dari menyaksikan keindahan Gunung Everest," kata Ketua Bahagian Penyelamat di Lapangan Terbang Antarbangsa Tribhuwan, Bimlesh Lal Karna, sambil menambah kata bahawa usaha menyelamat sukar dijalankan ekoran hujan lebat.
Pihak lapangan terbang terputus hubungan dengan pesawat tersebut pada kira-kira pukul 9.33 pagi waktu Malaysia dan terhempas empat minit kemudian.
Syarikat penerbangan persendirian itu tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan lanjut.
Buddha Air menawarkan pakej Everest Experience yang membawa pelancong menyaksikan keindahan gunung tertinggi di dunia itu serta keadaan di sekitar puncak.
Dalam laman webnya, Buddha Air menyifatkan pesawat Beechcraft sebagai pesawat paling selamat dalam operasi penerbangan domestik. - AFP

Terdesak, para pesalah trafik bayar RM9,480



MELAKA 25 Sept. - Hanya dalam tempoh tiga jam operasi mengesan pesalah trafik awal pagi ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya mengutip bayaran saman tertunggak sebanyak RM9,480.
Bayaran itu dikutip secara rela oleh pesalah trafik selepas terdesak untuk membawa pulang kenderaan masing-masing yang ditahan polis.
Sebahagian daripada 120 penunggang motosikal dan 109 pemandu kereta itu dikesan mempunyai saman tertunggak selepas mereka ditahan dalam operasi cegah lumba haram di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Lebuh Air Keroh di sini awal pagi ini.
Operasi menggempur pelumba haram secara besar-besaran di Melaka pagi ini adalah yang ketiga dilakukan oleh Unit Khas Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam minggu ini.
Turut sama dalam operasi tersebut, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Johor, Negeri Sembilan, IPD Melaka Tengah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.
Pegawai Unit Khas Cawangan Trafik, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, dalam operasi pukul 2 pagi itu, kesemua penunggang motosikal yang ditahan dibawa ke IPD untuk pemeriksaan.
"Ketika itu, polis turut menahan mana-mana kereta yang melakukan kesalahan seperti mengubah suai kenderaan, cermin gelap dan menggunakan ekzos bising.
"Kesemua 109 pemandu kereta yang ditahan disaman kerana melakukan pelbagai kesalahan. Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian daripada mereka memiliki 10 waran tangkap dan telah diberi notis untuk hadir ke mahkamah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 25 buah motosikal dan dua kereta telah disita manakala seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk juga ditahan.
Katanya, setiap pemandu yang mempunyai saman tertunggak diminta menyelesaikannya sebelum dapat membawa pulang kenderaan.
Dalam operasi sama JPJ mengeluarkan 16 saman dan telah mengarahkan 84 kenderaan untuk membuat pemeriksaan semula di cawangan JPJ terdekat.

Helikopter mainan diguna untuk tujuan penyeludupan




PASUKAN polis Thailand menunjukkan sejumlah barangan yang diikat bersama helikopter mainan kawalan jauh yang terjatuh di luar penjara Khao Bin, semalam. - AGENSI


BANGKOK 25 Sept. - Penjenayah dan banduan di Thailand dipercayai menggunakan helikopter mainan kawalan jauh untuk tujuan penyeludupan dan menyelia kegiatan jenayah ketika mereka menjalani hukuman di penjara.
Perkara ini terdedah apabila polis menemui serpihan helikopter mainan kawalan jauh yang jatuh di luar kawasan sebuah penjara di negara ini yang dipercayai digunakan untuk menyeludup telefon bimbit kepada banduan.
Bangkok Post melaporkan, serpihan tersebut ditemui di kawasan ladang ubi kayu kira-kira 500 kilometer dari penjara Khao Bin yang dikawal ketat di wilayah Ratchaburi.
Sehubungan itu, polis sedang mencari pemilik helikopter tersebut bagi tujuan siasatan.
Helikopter mainan itu dipenuhi tujuh telefon bimbit, empat telefon satelit, enam kad SIM dan lapan bateri telefon yang dianggarkan bernilai AS$100,000 (RM300,000).
Polis menyatakan nilai tersebut boleh mencecah sehingga AS$333,333 (RM999,999) sekiranya barangan itu diseludup ke dalam penjara.
Telefon bimbit mencatatkan permintaan tinggi di kalangan banduan seperti pengedar dadah bagi membolehkan mereka terus menyelia kegiatan jenayah ketika menjalani hukuman di penjara.
Penggunaan telefon bimbit di penjara-penjara Thailand adalah dilarang. - dpa

Serangan di gereja, satu maut






Mayat yang disyaki pengebom berani mati terbujur selepas meletupkan bom di pintu masuk utama gereja Bethel Injil di bandar Solo, Jawa Tengah, semalam. - AFP


JAKARTA 25 Sept. - Seorang pengebom berani mati terbunuh, sementara 20 orang lagi cedera dalam kejadian serangan bom berani mati di sebuah gereja di kota Solo, Jawa Tengah, pagi ini.
Serangan itu berlaku di Gereja Bethel Injil Sepenuh, Kepunton, Kota Solo pada kira-kira pukul 10.55 pagi selepas penganut Kristian selesai menjalani upacara agama.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Anton Bachrul Alam berkata, kejadian berlaku sebaik-baik penganut berkenaan keluar dari gereja itu.
''Ketika kejadian, pengebom berani mati terbabit ikut sama keluar dari gereja dan apabila sampai di pintu utama, dia meletupkan bom sehingga mencederakan ramai orang," katanya pada sidang media, di sini.
Bunyi letupan itu yang merosakkan beberapa bahagian gereja kedengaran sejauh 500 meter.
Jelasnya, pengebom berani mati itu dipercayai menyamar sebagai penganut Kristian dan ikut sama melakukan ibadat sebelum bertindak meletupkan bom.
''Letupan itu mengakibatkan bahagian tengah badan pengebom berani mati itu berkecai dan ususnya terburai.
''Polis masih menyiasat identiti pengebom termasuk jenis bom yang digunakan,'' ujarnya.
Menurut beliau, polis telah menyiarkan gambar wajah mayat pengebom berani itu dan merayu orang ramai tampil memberikan maklumat bagi mengenal identiti penyerang.
Sementara itu, Kerajaan Indonesia mengutuk keras kejadian serangan bom berani mati itu dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dijadual mengeluarkan kenyataan petang ini berhubung kejadian itu. - Utusan

23 kafe siber digempur



ALOR GAJAH 25 Sept. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus menggempur 11 kafe siber berlesen di bawah kawasan pentadbirannya bagi membanteras kegiatan perjudian haram Internet dalam satu operasi bersepadu di sini malam tadi.
Setiausaha MPAG yang mengetuai operasi itu, Shadan Othman berkata, 11 daripada 32 premis kafe siber berlesen di daerah itu yang diserbu semalam ialah sekitar pekan Alor Gajah, Pulau Sebang, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru dan Tanjung Bidara.
Menurut beliau, semua premis yang diserbu itu didapati melakukan pelbagai kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Sebanyak 31 kompaun bernilai RM7,750 atas pelbagai kesalahan dikeluarkan antaranya beroperasi lebih masa, membenarkan permainan video dan keadaan premis yang kotor," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Selain MPAG, operasi bermula 9.45 malam dan berakhir pukul 3 pagi itu disertai 45 pegawai dan anggota termasuk polis Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Menurut Shadan, sebanyak 45 buah komputer dan unit pemproses pusat (CPU) telah dirampas di 11 premis tersebut kerana melanggar syarat lesen Internet dengan membenarkan permainan video.
"Semua premis itu juga dipercayai melanggar syarat binaan bangunan dengan melakukan pengubahsuaian dalam premis tanpa mendapat kelulusan PBT.
"Pemeriksaan juga mendapati, empat premis judi haram berkomputer yang diserbu sebelum ini telah menutup operasi mereka dan pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, operasi sama dilakukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) malam tadi dan mendapati 12 premis haram yang disyaki menjalankan kegiatan judi haram sebelum ini telah menutup operasi mereka.
Setiausaha MBMB, Azmi Hussin berkata, 12 premis haram yang diperiksa ialah di Gadong Perdana sebanyak dua premis, Bertam Perdana (2), Taman Seri Telok Mas (2), dan masing-masing satu premis di Taman Seri Duyung, Kampung Lapan, Taman Peringgit Jaya, Taman Kota Laksamana, Bukit Baru dan Taman Melaka Raya.
"Salah satu daripada premis itu didapati telah mengosongkan bangunan mereka," katanya.

Wanita disamun nekad terjun dari kereta yang bergerak



KUALA LUMPUR 25 Sept. - Seorang wanita yang disumbat dalam but kereta dengan mata ditutup dan tangan diikat, bertindak nekad terjun dari kenderaan yang bergerak laju di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban di sini kelmarin, untuk menyelamatkan diri daripada dua lelaki yang menculik dan menyamunnya.
Mangsa, Lim Lee Sun, 45, yang membantu kakaknya berniaga di gerai makan berhampiran Pasar Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, telah disamun dan diculik oleh suspek pukul 7 pagi.
Menurut Lee Sun, kejadian berlaku sebaik sahaja dia memberhenti dan mematikan enjin kereta di tempat letak kenderaan berhampiran kedai makan.
Katanya, secara tiba-tiba seorang lelaki bersenjatakan parang meluru masuk ke tempat duduk sebelah pemandu dan mengacukan parang ke arahnya.
"Lelaki terbabit mengarahkan saya bertukar tempat duduk dengannya dan selepas berada di tempat pemandu, dia menyerahkan parang yang dipegang kepada seorang rakannya yang masuk dan duduk di kerusi belakang selepas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong dekat sini, hari ini.
Lee Sun berkata, penjenayah terbabit membawa dia ke beberapa tempat, termasuk Jalan Kuchai Lama, Taman Sri Sentosa dan Taman OUG sebelum dia dipukul dan disamun semasa berhenti di satu kawasan perindustrian tiga jam kemudian.
"Mereka merampas wang RM2,500 dan barang kemas bernilai kira-kira RM6,000. Pada masa sama, mereka juga membuka tempat duduk belakang dipercayai untuk mencari tangki minyak dan saya mengesyaki mereka mahu membakar kereta dan membunuh saya," katanya.
Lee Sun berkata, dia kemudian disumbat dalam but kereta dan disebabkan takut dibunuh, dia berusaha sedaya upaya membuka ikatan mata serta tangannya sebelum dapat membuka but kereta dengan merosakkan wayar-wayar di situ.
Katanya, melalui but yang dibuka sedikit, dia dapat mengintai keluar dan mendapati masih berasa di kawasan perindustrian tetapi belum berani terjun dari kereta kerana bimbang tiada orang menemuinya.
Menurutnya, peluang sesuai untuk meminta bantuan tiba apabila kereta terbabit tiba di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur ke arah Pusat Beli-belah Mid Valley di sini.
"Tiba di situ, saya berdiri sambil menjerit meminta tolong dan beberapa pemandu kereta lain yang melihat saya terus membunyikan hon dan meminta penjenayah terbabit memberhentikan kenderaan, namun mereka memecut laju.
"Sampai di satu selekoh, saya nekad terjun dari kereta dan bernasib baik apabila pemandu lain berhenti menyelamatkan saya," katanya sambil memberitahu penjenayah terus melarikan diri sebelum meninggalkan keretanya di satu kawasan setelah terlibat dalam kemalangan.
Lee Sun berkata, dia yang mengalami kecederaan di muka, mata, tangan dan kaki akibat dipukul oleh penjenayah serta terjatuh dari kereta dihantar ke hospital oleh orang awam.
Dia yang benarkan keluar hospital semalam, amat bersyukur terselamat dalam kejadian itu dan gembira apabila masih dapat bertemu dengan suami dan anak perempuannya berusia 15 tahun.

Sindiket dadah tawar kerja gaji tinggi



KUALA LUMPUR 25 Sept. – Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kini berselindung di sebalik operasi syarikat yang menawarkan pekerjaan bergaji lumayan.
Kebanyakan mangsa yang tidak berpendidikan tinggi terpedaya untuk pekerjaan itu yang tanpa disedari mereka sebenarnya dijadikan keldai dadah.
Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima aduan enam kes mangsa dijadikan keldai dadah pada 2009, diikuti 2010 (tiga kes) dan 2011 (lima kes iaitu termasuk yang terbaru 10 September lalu).
“Kebanyakan mangsa mudah menerima pekerjaan tanpa mengetahui latar belakang syarikat itu.
“Mereka lebih suka bekerja memandangkan gaji ditawarkan lebih tinggi.
“Mereka turut ditawarkan faedah lain seperti mengikuti kursus di luar negara,” katanya pada satu sidang akhbar di Wisma Biro Pengaduan Awam MCA di sini, hari ini.
Tambah Michael, dalam kes terbaru 10 September lalu, seorang mangsa sindiket pengedaran dadah itu ditahan di Lapangan Terbang Guang Zhou, China.
“Mangsa dipercayai pergi ke China bersama tiga majikannya iaitu seorang warga Nigeria dan dua warga tempatan selain diiringi dua pekerja lain.
“Dia ditahan sebaik sahaja memasuki pintu masuk lapangan terbang untuk penerbangan pulang ke tanah air kerana memiliki dadah jenis heroin 549.7 gram,” ujarnya.
Kata Michael, suami mangsa, Sangar Chrisnan Samy, 36, dimaklumkan isterinya pergi ke China atas urusan mempelajari teknik pembungkusan selama seminggu.

Pemain mesin judi boleh dipenjara






POLIS menunjukkan sebahagian daripada peralatan untuk permainan judi yang dirampas daripada beberapa individu semasa sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 25 Sept. - Bagi membendung kegiatan perjudian di premis kafe siber daripada berleluasa di negeri ini, selain penganjur dan penjaga premis, polis akan turut mengheret para pemain ke muka pengadilan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata, mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Katanya, di bawah peruntukan undang-undang itu, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.
"Sebelum ini, hanya penganjur dan penjaga premis sahaja didakwa manakala mereka yang bermain mesin judi pula dibebaskan selepas kenyataan diambil. Mereka diperlukan sebagai saksi dalam kes itu.
"Namun kini polis akan usahakan supaya pemain mesin judi di kafe siber juga akan turut didakwa seperti mana yang dibuat kepada pemain judi di tempat terbuka.
"Peruntukan undang-undang itu memang sudah sedia ada, cuma kita belum laksanakannya lagi," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahrudin Abdullah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.
Dalam perkembangan berkaitan, Ayub berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi 'panas' aktiviti perjudian di negeri ini dan telah menjalankan operasi bagi membanteras gejala itu.
Katanya, operasi berterusan itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Tumpuan utama adalah lokasi-lokasi di tiga daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya serta Seberang Jaya Tengah (SPT) dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian sering dijalankan.
"Kita juga turut menjalankan operasi di lokasi-lokasi yang pernah diserbu kerana aktiviti berkenaan masih dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, menurut Ayub, terdapat peningkatan dari segi rampasan mesin judi yang direkodkan pihaknya antara Januari dan Ogos lalu berbanding tempoh yang sama pada 2010.
"Tahun ini, sebanyak 6,416 set mesin judi dirampas berbanding 1,976 set pada tahun lalu. Kita juga menahan seramai 631 orang tahun ini berbanding 271 orang tahun lalu" ujarnya.

Lelaki dihentak guna botol arak

AMPANG: Gara-gara mabuk sekumpulan lelaki bertindak di luar kawalan apabila membuat kacau di sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, kelmarin, malah hilang kawalan apabila membelasah seorang lelaki dengan kerusi dan botol arak menyebabkan dia menerima 21 jahitan di kepala.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang minum di situ terkejut apabila enam lelaki tidak dikenali dalam keadaan mabuk menyerangnya.

Malah, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri menyebabkan kepalanya dihentak dengan botol, malah turut dibaling dengan kerusi.

Menurut sumber, kumpulan lelaki terbabit mendakwa mereka samseng dan mengugut pelanggan di situ supaya jangan melawan jika tidak mahu diapa-apakan.

“Mangsa yang berdarah di kepala cuba melarikan diri, namun gagal apabila suspek mengepungnya sebelum memukulnya beberapa kali.

“Selepas beberapa minit membelasah mangsa, kumpulan terbabit melarikan diri menaiki sebuah kereta,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang kesakitan buntu punca dia dibelasah suspek kerana sebelum ini mereka tidak pernah berjumpa.

“Akibat kejadian itu, dia cedera di kepala dan badan serta menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dengan 21 jahitan di kepala.

“Bimbang kejadian itu berulang, mangsa pergi ke Balai Polis Pandan Indah untuk membuat laporan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Kursus untuk seludup heroin


BIMBANG...ahli keluarga bersama Chong menunjukkan gambar Letchumi.
BIMBANG...ahli keluarga bersama Chong menunjukkan gambar Letchumi.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang juga pembungkus makanan di sebuah kilang di sini, ditahan pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou, China selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis heroin seberat 549 gram bernilai kira-kira RM40,000.
Difahamkan, wanita itu, C Letchumi, 32, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket keldai dadah berlepas ke republik itu pada 10 September lalu bersama empat rakan sekerjanya termasuk majikan warga Nigeria, bagaimanapun ditahan pihak berkuasa China atas dakwaan membawa dadah terbabit yang disorokkan dalam beg baju.
Menurut suami mangsa, C S Sangar, isterinya baru tiga bulan bekerja dengan sebuah kilang pembungkusan makanan di Taman Bolton, Gombak, dekat sini, sebelum mendapat tawaran daripada majikannya untuk pergi ke China bagi mengikuti kursus pengurusan.

“Pada mulanya saya curiga dengan tawaran itu memandangkan isteri baru beberapa bulan bekerja, namun tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk kerana dia seronok bekerja di situ selain baik dengan seorang anak majikan.


“Pada hari kejadian, saya menghantarnya ke lapangan terbang dan sebelum berlepas, Letchumi memeluk saya dan memohon untuk pergi ke sana selama seminggu dan saya pelik dengan tindakannya itu.

Diserang guna dahan rambutan

KUALA PILAH: “Saya tersentak melihat remaja bersenjatakan dahan itu berada di dalam rumah dan cuba merampas gelang emas saya,” kata Khalijah Idris, 61.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu, warga emas itu menempuh detik menakutkan apabila cedera di kepala selepas diserang penyamun yang memukulnya dengan objek keras dipercayai dahan rambutan di kediamannya di Kampung Pilah Tengah, Senaling, di sini.
Mengimbas kejadian itu, Khalijah berkata, dia yang sedang membasuh pakaian dikejutkan dengan bunyi bising kambing peliharaannya di luar rumah.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya memeriksa namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan dan masuk semula ke dalam rumah.


“Selepas menutup pintu depan, saya terkejut apabila melihat seorang lelaki berusia belasan tahun yang memegang dahan pokok berada dalam rumah dipercayai masuk melalui pintu belakang.

Samun, culik, sumbat


DISINI...Lim disumbat dalam but keretanya.
DISINI...Lim disumbat dalam but keretanya.



SAKIT...Lim menunjukkan  luka akibat dibelasah dua lelaki.
SAKIT...Lim menunjukkan luka akibat dibelasah dua lelaki.



KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 45 tahun melalui saat getir apabila dia bukan saja disamun, malah turut dibelasah, diculik dan disumbat ke dalam but kereta miliknya lebih tiga jam sebelum dia berjaya melepaskan diri dan terjun dari kenderaan itu.
Mangsa yang mahu dikenali Lim mengalami kecederaan terseliuh kaki kiri, bengkak dan lebam akibat tindakannya terjun dari kereta jenis Proton Persona yang sedang memecut laju.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi kelmarin, mangsa yang juga seorang peniaga gerai makan mahu memulakan perniagaannya di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, sebelum dihampiri dua lelaki.

“Sebaik tiba di tempat letak kenderaan dan mematikan enjin kereta, seorang lelaki berusia 30-an secara mengejut masuk ke dalam kereta.


“Lelaki itu kemudiannya mengacukan parang dan mengarahkan saya menukar tempat duduk iaitu duduk di bahagian penumpang,” katanya.

Ibu perdagang dua anak


OPERASI...kawasan rumah kedai terbabit.
OPERASI...kawasan rumah kedai terbabit.

KUALA LUMPUR: “Ibu yang mengajar saya teknik urutan batin dan menyuruh saya menjadi pelacur.” Itu pengakuan mengejutkan seorang remaja berusia 16 tahun yang ditemui di sebuah premis urut yang menyediakan khidmat seks, di sini.
Mahu dikenali sebagai Ziela, remaja itu berkata, dia tidak rela melakukan pekerjaan itu, tapi tiada pilihan kerana ibunya yang juga pelacur memaksanya berbuat demikian.
“Saya tak mahu (melacur). Sebelum ini kakak menjadi pelacur kerana disuruh ibu, tapi selepas dia malas untuk terus melakukannya, saya pula dipaksa ibu menjadi pelacur sejak dua bulan lalu,” katanya.


Ziela ditemui wartawan Harian Metro yang menyamar pelanggan di rumah pelacuran dikendalikan ibunya di satu kawasan rumah kedai di pinggir ibu negara.




Wanita berusia 40-an yang dikenali sebagai Kak K itu mempunyai empat anak yang semuanya tinggal di premis itu bersama beberapa warga Indonesia yang turut menjual tubuh.

19 pelancong Everest terbunuh

KATHMANDU: Sebuah pesawat kecil membawa pelancong asing melihat Gunung Everest terhempas dalam cuaca buruk berhampiran ibu negara Nepal, semalam, membunuh semua 19 orang di dalamnya.
Pegawai Lapangan Terbang Kathmandu berkata, pesawat itu membawa 16 penumpang dan tiga kru ketika kejadian.

Katanya, punca kemalangan belum diketahui.

Jurucakap polis pula berkata seorang mangsa ditemui masih bernyawa dan dikejarkan ke hospital tetapi mati ketika diberikan rawatan.

“Penyelamat menemui semua mangsa tetapi mayat mereka tidak dapat dikeluarkan setakat ini kerana helikopter gagal mendarat dalam cuaca buruk,” katanya.

Saksi berkata, mayat bergelimpangan dalam keadaan ngeri, manakala pelbagai objek lain, termasuk telefon bimbit dan kasut berselerakan.


Pesawat itu dimiliki Buddha Air, sebuah syarikat penerbangan persendirian yang menyediakan perkhidmatan mengangkut penumpang melihat puncak Gunung Everest.

Pegawai penyelamat berkata, pesawat itu dalam perjalanan pulang ke Kathmandu apabila ia terhempas.

“Penumpang terdiri daripada 10 warga India, dua dari Amerika Syarikat, seorang Jepun dan tiga Nepal, manakala ketiga-tiga kru pesawat berkenaan adalah warga Nepal,” katanya. - Reuters

6 sekeluarga maut dalam kebakaran

LONDON: Enam orang, termasuk tiga kanak-kanak, dua remaja dan seorang dewasa terbunuh dalam kebakaran sebuah rumah di barat laut London, semalam.
Polis berkata, mangsa dikenali sebagai Muna Elmufatish, 41, anak perempuannya, Hanin dan Basma, 14, Amal, 13, Mustafa, 5, dan Yehya, 2.

Jurucakap polis berkata, tiada sebarang unsur mencurigakan atau perbuatan khianat dikesan dalam kejadian itu.

Penyelamat bergegas ke rumah berkembar di Sonia Gardens di Neasden, pada awal pagi semalam, selepas jiran melihat api membakar tingkat bawah dan atas kediaman berkenaan.

Suami Muna, Bassam Kua, 51, dan anak perempuanya, Nur, 16, sempat menyelamatkan diri tetapi kini dirawat di hospital.

Keadaan mereka dilaporkan kritikal. - TS

Tanam mayat suami dalam kandang babi

FLORIDA: Seorang wanita ditangkap selepas polis mendakwa dia menembak mati suaminya dalam satu pertengkaran dan mengebumikan mayat lelaki itu dalam kandang babi.
Jennifer Lynn Hearn menulis dalam laman Facebooknya mengenai bagaimana suaminya, Carl 'Cliff' Hearn, 41, meninggalkannya dan gembira kerana hidup membujang semula.

Dia ditangkap malam tadi atas tuduhan membunuh selepas penyiasat menemui mayat suaminya yang sudah reput.

Mayat berkenaan ditemui dalam lubang sedalam setengah meter di kandang babi di belakang sebuah setor keluarga itu di Melbourne, Florida.

Jennifer memberitahu penyiasat, dia menembak suaminya selepas bertengkar waktu malam dan kemudian menanam mayatnya, kata syerif Melbourne, Lt Tod Goodyear.

Akhbar Florida Today melaporkan, Jennifer memberitahu rakannya enam minggu lalu bahawa suaminya berpindah dan tinggal bersama teman wanitanya.


Dia kemudian menulis dalam Facebooknya dengan berkata: “Wow. Saya begitu gembira kerana ada orang yang meninggalkan saya supaya ada orang lain dapat mengisi kehidupan saya. Saya suka hidup membujang.” Menurut Florida Today, jiran mengetahui hubungan buruk Jennifer dan suaminya dan ada dakwaan mengenai penderaan, kecurangan serta penggunaan dadah oleh si suami.

Pasangan itu yang mempunyai tiga anak berpisah dan bersatu semula beberapa kali sebelum ini. - Agensi

Rayu suami pulangkan anak



AYER KEROH - Seorang wanita merayu agar suaminya memulangkan tiga anak kandungnya yang dipercayai dilarikan ke Sabah selepas berlaku konflik dalam rumah tangga mereka.

Ibu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Nana, 36, berkata, suaminya merupakan seorang kakitangan awam melarikan tiga anaknya berusia 4, 6 dan 7 tahun daripada pangkuannya sejak Mac lalu.

“Suami melarikan tiga anak saya di rumah ayahnya di Sabah dan meninggalkan mereka di sana untuk dipelihara keluarganya, sebelum kembali semula ke negeri ini.

“Sejak anak-anak dibawa lari, saya sering merindui mereka. Tapi, saya tak mampu untuk ke Sabah dan membawa mereka pulang ke sini kerana masalah kewangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Nana ditemui selepas membuat aduan di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Melaka (Pembela BN) di Ayer Keroh, dekat sini semalam.

Sementara itu, Nana berkata, anak-anaknya yang ditinggalkan di Sabah sering bertanya mengenai dirinya, selain sering memegang gambarnya setiap hari.

“Malah, kakak ipar juga meminta saya ke sana mengambil anak-anak kerana terlalu kasihan melihat mereka yang terlalu merindui saya.

“Paling kerap bertanyakan saya ialah anak bongsu yang berusia 4 tahun itu,” katanya.

Menurut Nana yang bernikah dengan suaminya di Thailand pada 2006, perbua�-tan suaminya itu membawa lari anak-anak bukan kali pertama, sebaliknya sudah tiga kali berlaku.

“Sebelum ini, suami pernah membawa lari anak-anak dan menempatkan mereka di rumah kakak dan adiknya di Puchong, Selangor dan Pahang. Namun, saya berjaya mengambil mereka semula,” katanya sambil memberitahu dia sudah memfailkan tuntu�-tan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menuntut hak memelihara tiga anaknya.

Malah, katanya, suaminya yang mengambil dadah serta minum arak itu sering memukul dan menumbuknya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Abd Aziz berkata, pihaknya akan membawa perkara berkenaan ke pengetahuan ketua jabatan tempat suami Nana bekerja supaya dapat menasihatkan lelaki tersebut memulangkan tiga anaknya ke pangkuan ibu mereka.

“Saya juga akan membawa sijil nikah Thailand milik Nana ke Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk mendapatkan mengesahkan bagi memudahkan urusannya pada masa depan, selain bekerjasama dengan Ahli Parlimen di Sabah untuk membantu kos membawa pulang kanak-kanak tersebut ke negeri ini,” katanya.

Wanita hamil cedera lif terhempas

KUALA LUMPUR — Seorang wanita hamil tujuh bulan patah kaki kanan selepas lif yang dinaikinya jatuh terhempas di pusat membeli belah Selayang Mall di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa Norazlina Mohd. Yusoff, 25, bersama enam lagi ahli keluarganya dan beberapa individu lain menggunakan lif tersebut untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah.
Norazlina berkata, beliau sekeluarga masuk ke dalam lif itu dari tingkat empat kawasan parkir sebelum lif tersebut berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang yang merupakan satu keluarga dan tiba-tiba berhenti di tingkat ‘G’ (ground floor) tanpa pintu terbuka.
"Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah (lower ground),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Selayang.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dikeluarkan oleh pengawal keselamatan bangunan itu dan orang ramai yang kebetulan berada di situ sebelum yang tercedera dikejarkan ke hospital tersebut.
"Ketika kejadian kira-kira 12 orang berada dalam lif termasuk keluarga saya yang terdiri dari suami, emak, nenek dan ahli keluarga lain dan ia berlaku sekelip mata...semua orang terjatuh dan keadaan menjadi huru-hara.
"Saya sendiri cuba menahan dari terjatuh bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan dan akibatnya kaki kanan patah namun saya bersyukur bayi dalam kandungan selamat, malah anak saudara berusia 8 bulan yang dikendong suami turut selamat,” kata Norazalina, seorang kerani swasta.
Norazalina berkata mereka menunggu kira-kira 20 minit sebelum ambulans tiba dan ahli keluarganya yang cedera ringan seperti neneknya, mendapat rawatan pesakit luar di hospital itu. Katanya, bagaimanapun mereka yang lain tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dimaklumkan dan tidak mendapat sebarang laporan berkenaan insiden itu dari pengurusan pusat membeli belah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi pengurusan berkenaan sebelum menyiasat punca bagaimana lif tersebut terhempas - sama ada berlaku kecuaian atau faktor lain. — Bernama