Search This Blog

Sunday, August 7, 2011

Tinggalkan ular sawa depan rumah jiran



KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seorang pemuda yang ditangkap kerana meninggalkan seekor ular sawa batik sepanjang 2.4 meter di hadapan rumah jirannya di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak semalam, menimbulkan tanda tanya berhubung motif tindakannya itu.
Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam, suspek yang berusia 22 tahun dilihat meletakkan satu bungkusan guni gula yang berikat dengan dawai di hadapan rumah jirannya sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, perbuatannya itu dilihat oleh salah seorang ahli keluarga mangsa yang kemudian mengejar dan dapat menangkap suspek.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pemeriksaan mendapati, seekor ular sawa batik seberat lebih lima kilogram ditemui dalam guni itu.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai penyelia pembersihan mengenali suspek yang juga tinggal di kawasan flat itu.
"Setakat ini kami percaya, tindakan pemuda itu berniat untuk mengugut, namun motif sebenar masih disiasat dan kami belum mengetahui sama ada wujud permusuhan atau sengketa di antara mereka sebelum ini.
"Hasil pemeriksaan, suspek negatif dadah dan kami juga masih tidak mengetahui dari mana suspek mendapat ular berbahaya itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.
Kata beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan haiwan, yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Wilayah Persekutuan, Mohamad Hafid Rohani ketika ditemui memberitahu, mereka yang ingin memelihara ular sawa batik itu perlu memiliki lesen.
"Berdasarkan saiz, ular ini mampu menelan seekor anak kambing dan mendatangkan bahaya kepada manusia," katanya.
utusan

No comments:

Post a Comment