Search This Blog

Friday, August 19, 2011

Tidak maaf suami rogol anak



SUNGAI MANIK - “Hukuman 18 tahun penjara dan sembilan kali sebatan masih belum cukup untuk memaafkan kesalahan yang telah dilakukan suami saya ke atas anak gadis tunggal kami.”

Itulah luahan seorang ibu kepada lapan anak, hanya mahu dikenali sebagai Suhaina, 37 mengenang perbuatan durjana suaminya, 40-an yang sanggup merogol anak gadis sendiri ketika masih berusia 13 tahun waktu itu.

Suhaina berkata, kejadian itu berlaku sewaktu dia menetap dan bekerja di Ipoh sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik, untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurut Suhaina, kali pertama anak gadisnya menceritakan peristiwa hitam itu adalah pada Januari tahun lalu, namun dia tidak mempercayainya.

“Bagaimanapun selepas diyakinkan anak gadis saya itu, kami terus buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum membuat pemeriksaan ke atas anak gadis saya.

“Kami sudah puas menangis mengenangkan kejadian� itu, namun kami perlu menerima hakikat anak gadis tunggal saya telah menjadi korban nafsu serakah suami saya sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suhaina berkata, dia menetap selama tiga tahun di Ipoh, ketika itu untuk mencari rezeki, sementara suami menjaga anak-anak di kampung.

Suhaina kini bekerja sebagai pembantu kantin sekolah. di sini, dengan pendapatan RM15 sehari, kini dalam proses menuntut cerai fasakh daripada suaminya sementara anak gadisnya yang kini berusia 14 tahun telah dihantar ke Sekolah Kanak-Kanak Arau, Perlis dan masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, dan sedang berusaha mencari kerja di sekitar kawasan Hilir Perak.

“Untuk persiapan Syawal nanti, kami hanya akan menyambut secara sederhana sahaja, lebih-lebih lagi dengan apa yang telah dilalui anak gadis saya itu,” katanya.

Suhaina menegaskan dia masih belum memaafkan perbuatan suaminya, yang sekali gus menggugat masa depan anak gadisnya.

Bagi pihak yang ingin meringankan beban ibu muda ini boleh menyalurkan terus bantuan anda ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Suhaina yang bernombor 08230-41-00002388-3.
-SH

No comments:

Post a Comment