Search This Blog

Thursday, August 11, 2011

Tagih hutang, maut dilibas





Mayat Che Hassan Che Omar dibawa naik ke dalam kenderaan polis di Tok Bali, Pasir Puteh, semalam.


PASIR PUTEH 10 Ogos – Tindakan seorang peniaga ikan di Bachok menuntut hutang lapuk daripada jirannya, membawa padah apabila dia maut selepas dilibas dengan gergaji besi pemotong ais di kepala oleh lelaki berkenaan semalam.
Kejadian berlaku di sebuah pangkalan pendaratan ikan di Tok Bali dekat sini apabila mangsa, Che Hassan Che Omar, 51, dari Kampung Kuala Besut, Terengganu dan menetap bersama isteri keduanya di Kampung Limau Manis, Telong, Bachok cuba menuntut hutang itu daripada jirannya berusia 49 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, bagaimanapun tindakan mangsa itu menimbulkan kemarahan jirannya sehingga berlaku pertengkaran antara mereka.
“Suspek yang gagal mengawal kemarahannya dikatakan mencapai senjata tajam dipercayai gergaji besi sebelum melibas kepala suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, sebaik sahaja melihat mangsa rebah, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh penduduk kampung.
Beliau berkata, mangsa yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku, Pasir Puteh namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang.
Berikutan itu, katanya, suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, adik mangsa, Che Omar Che Nor, 46, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Anis memberitahu, abangnya telah menjalankan perniagaan ikan di pangkalan itu selama 15 tahun.
“Kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian abang dengan cara begini kerana setahu saya, dia selama ini tidak pernah bermusuh dengan sesiapa,” katanya.
Menurutnya, jenazah Allahyarham dituntut oleh keluarga isteri pertamanya pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Besut, Terengganu.-utusan

No comments:

Post a Comment