Search This Blog

Friday, August 26, 2011

Syarikat tiru Upin & Ipin didenda RM300,000

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pemborong baju didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memiliki 150 salinan cetak rompak kartun animasi popular, Upin & Ipin yang dicetak di atas baju-T tanpa kebenaran pemilik hak cipta, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, tiga tahun lalu.
Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Fook Tai Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Yap Kien Sing, 49, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Yap juga berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda yang diperintahkan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di premis No 17C dan 19C, Lorong Haji Taib 4, Jalan Raja Laut, dekat sini, pada jam 5.30 petang pada 22 Mei 2009. Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(i) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan cetak rompak atau boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Selepas menjatuhkan hukuman, Hasbi sempat berpesan kepada Yap supaya jangan mengambil kesempatan dan lebih berhati-hati dengan harta intelek kerana ia membabitkan kepentingan awam dan negara.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Hamzah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) manakala syarikat itu diwakili peguam Harjinder Singh Sandhu.


Terdahulu, Harjinder memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana ini kesalahan pertama dan tidak mengakibatkan kecederaan pada mana-mana pihak, memandangkan kes itu membabitkan harta intelek.

Syarikat itu membayar denda berkenaan.

No comments:

Post a Comment