Search This Blog

Thursday, August 25, 2011

Suami isteri dalang samun jalanan



KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri yang disyaki mendalangi puluhan kes samun jalanan dan pecah cermin kereta di daerah ini membabitkan kerugian nilai ratusan ribu ringgit berjaya di berkas polis selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Tok Lam, di sini, 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, pasangan suami isteri yang berumur 29 dan 27 tahun itu ditahan ketika menyembunyikan diri dalam salah sebuah bilik hotel terbabit kira-kira jam 1 tengah hari.

“Hasil penahanan mereka, polis berjaya merampas 11 buah komputer riba pelbagai jenama, 18 buah telefon bimbit, 16 unit pendrive, 22 unit kad sim, lima utas jam tangan, empat unit hard disk, dua unit kamera digital, dua unit MP3 dan MP4 dan empat buah beg lap top yang dipercayai hasil jenayah samun jalanan dan pecah cermin kereta yang dilakukan sepanjang 2010 sehingga bulan Mei baru-baru ini.

“Kesemua barang rampasan yang bernilai kira-kira RM30,000 itu dipercayai akan dijual kepada individu atau sesiapa sahaja yang berminat,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, semalam.

Menurut Zamri, penahanan pasangan suami isteri yang turut memiliki rekod jenayah lampau pada tahun 2008 berjaya menyelesaikan hampir 50 kes jenayah melibatkan curi komputer riba, jam tangan dan pecah cermin kereta di daerah ini.

Katanya, pasangan suami isteri yang memiliki tiga anak itu kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Zamri meminta orang ramai yang pernah membuat laporan polis mengenai kehila-ngan barang yang dinyatakan sebelum ini tampil ke balai polis atau menghubungi talian 09-6246222 sambungan kepada 5769 untuk membuat pengecaman barang.

Sementara itu, Zamri berkata, sempena Ops Rentap/Lejang yang dilancarkan bermula 9 Ogos lalu sehingga semalam, seramai 55 orang yang dipercayai terlibat dalam kes curi motor dan ragut berjaya ditangkap.

“Operasi yang berfokuskan kepada jenayah curi motor dan ragut ini akan dijalankan secara berteru-san sehingga selepas hari raya memandangkan pada musim sebeginilah kes jenayah ini menjadi-jadi terutama di kawasan pasar raya dan masjid,” katanya.

No comments:

Post a Comment