Search This Blog

Friday, August 12, 2011

Rumah rosak akibat ribut



GONG CHAPA - Hujan lebat berserta angin kuat petang kelmarin mengakibatkan bumbung lima rumah di sini termasuk Surau Kampung Pulau Sa rosak teruk diterbangkan angin.

Mangsa ribut, Othman Saman, 70, yang mengidap angin ahmar sejak tahun lalu berkata, kejadian itu mengejutkan mereka kerana ia berlaku begitu cepat.

“Nasib baiklah tiada kecederaan, cuma bumbung rumah kami sahaja rosak dan ada diterbangkan angin,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa lawatan Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, semalam.

Hadir sama ialah, Setiausaha Dun Limbongan, Mohd Judin Samat dan Bendahari Pas Kawasan Pasir Puteh, Nik Yusof.

Menurutnya, apa yang berlaku itu dugaan lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan mereka menerimanya sebagai ujian sebagai hamba ALLAH SWT.

Othman berkata, dia bersyukur kerana tidak banyak kerosakan berlaku dan Adun juga cepat datang melawat mereka.

“Terima kasih kepada Adun serta rombongannya yang sudi melawat kami dan menghulurkan bantuan seadanya,’’ katanya.

Sementara itu Zainuddin berkata, lima keluarga terlibat menerima bantuan daripada Tabung Serambi Mekah bagi meringankan beban mangsa.

“Lagipun sekarang ini bulan Ramadan jadi amalan menziarah serta bersedekah adalah satu kebajikan yang dituntut lebih-lebih lagi di bulan penuh rahmat,’’ katanya.-SH

No comments:

Post a Comment