Search This Blog

Thursday, August 25, 2011

Rumah hangus

SENTUL - Sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba membawa episod sedih kepada dua keluarga apabila rumah mereka di Kampung Bandar Dalam bersebelahan Kilang Lian Hin Rubber Sdn Bhd dekat sini terbakar dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa, Rosmini Abu Hassan, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di dapur dan terkejut apabila ternampak api di bahagian stor.

“Saya segera ambil air untuk padamkan kebakaran, tetapi api sudah begitu marak.

“Pada waktu itu tiada apa yang boleh dilakukan dan saya terus hubungi bomba. Ketika itu, hanya ahli keluarga yang saya ingat termasuklah bapa mertua yang perlu diselamatkan kerana dia tidak mampu berjalan,” katanya.

Rosmini berkata, dia juga menjerit meminta bantuan jiran dan cuba hendak menyelamatkan barang-barang rumah tetapi tidak berdaya kerana api semakin marak.

Bapa mertua Rosmini, Abdul Wahid Abdul Raof, 72, berkata, sebelum kejadian dia sedang membaca surat khabar dan dua cucunya juga ada berdekatan dengannya.

“Tiba-tiba jiran memberitahu ternampak asap dan tidak berapa lama kemudian api mula marak. Mujurlah dengan bantuan jiran memapah saya dan membantu, telah menyelamatkan kami daripada kebakaran.

“Saya tidak tahu bagaimana kebakaran boleh berlaku, tetapi alhamdulillah keluarga saya selamat daripada bencana yang langsung tidak diduga itu,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang dikenali sebagai Zaiman berkata, dia mula ternampak asap di bahagian belakang kereta Waja jirannya dan tidak sampai tiga minit, api terus marak.

“Masa itu bahang terlalu kuat dan saya tidak berani untuk menyelamatkan kereta Waja tersebut kerana bimbang ia meletup. Hanya tiga kenderaan lain yang sempat saya alihkan sementara jiran-jiran lain cuba menyelamatkan ahli keluarga mangsa kebakaran,” katanya.SH

Seorang lagi ahli keluarga, Shareza Abdul Wahid, 38, berkata, apa yang lebih berharga adalah nyawa seluruh ahli keluarganya yang selamat.

“Ketika kebakaran, saya sedang bekerja dan terima panggilan pada jam 11.00 pagi. Malangnya, apabila saya sampai di rumah, semuanya telah hangus tetapi lega ahli keluarga semuanya selamat,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Bahagian Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Operasi Penyelamat DBKL, Buhari Muit berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di Madrasah Tarbiyah atas kerjasama madrasah berkenaan.

“Pihaknya akan memproses kesemua maklumat kejadian sebelum bantuan yang sepatutnya akan disampaikan kemudian kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasatan Bahagian Forensik, Zulkhairani Ramli berkata, punca kebakaran kini masih dalam siasatan pihaknya.

No comments:

Post a Comment