Search This Blog

Friday, August 26, 2011

Polis tahan enam penjual mercun di bazar Ramadan

KLUANG 25 Ogos - Polis menahan seramai enam penjual mercun dalam pemeriksaan yang sepanjang bulan Ramadan di bazar-bazar jualan makanan di seluruh daerah ini.
Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Mohd. Arshad, selain ditahan, polis turut merampas mercun dan bunga api yang cuba dijual oleh peniaga itu.
"Semua bahan api itu dirampas untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di sini, kelmarin.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak bermain mercun kerana ia menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil ke atas mereka yang masih berdegil.
Dalam pada itu, Mohamed Fawzi menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman Aidilfitri ini supaya memaklumkan kepada polis bagi mencegah jenayah pecah rumah di kawasan masing-masing.
"Pemilik rumah yang ingin pulang ke kampung dinasihatkan supaya memaklumkan ketiadaan mereka di mana-mana balai atau pondok polis berhampiran dengan meninggalkan butiran mereka agar polis dapat membuat rondaan berkala," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment