Search This Blog

Thursday, August 11, 2011

Polis percaya dapat selesai kes kehilangan warga Perancis



KUANTAN 10 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan kes penemuan rangka dipercayai milik wanita warga Perancis, Stephanie Foray, 30, yang dilaporkan hilang dengan penahanan dua lelaki tempatan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, kedua-dua individu terbabit sebelum itu ditahan di Kampung Tekek, Pulau Tioman, pada 24 Julai lalu.
Katanya, soal siasat suspek pertama berusia 36 tahun kemudian membawa penemuan mayat mangsa yang ditemui tertanam di dalam lubang sedalam tiga meter di Gua Air Hantu, Kampung Tekek, Pulau Tioman, pukul 1 petang kelmarin.
"Mayat yang hanya tinggal rangka dan kulit yang melekat pada tulang ditemui tertanam bersama ketulan batu-batu besar, alas tilam dan bantal.
"Turut ditemui beg jenama X-zone yang dipercayai milik mangsa ditemui tersorok di celah batu di gua berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.
Menurut Sharifuddin, pemeriksaan ke atas rangka itu menjumpai beberapa barang seperti seutas rantai manik, seutas rantai benang dan gelang getah berwarna hijau tertulis Good time good friend dan dua gelang tali.
"Selain itu, kita turut menemui sebuah telefon bimbit dan sejumlah mata wang Sri Lanka daripada suspek. Polis juga menemui beberapa barang lain milik mangsa di rumah suspek yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
"Antaranya kad 'carte dassurance maladie' atas nama mangsa, kad kredit Visa, tiga rantai perak, dua gelang tangan warna kuning dan sebentuk cincin perak," jelasnya.
Beliau memberitahu, suspek kedua yang berusia 44 tahun masih disiasat sama ada terlibat secara langsung atau sebaliknya dalam kes berkenaan.
"Sehingga kini, kita masih belum mengenal pasti motif dan punca pembunuhan ke atas mayat yang dipercayai Stephanie itu.
"Polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada spesimen tulang mangsa dan sampel DNA keluarga mangsa di Perancis untuk pengesahan," ujarnya.
Tambahnya, suspek yang bekerja di premis perkhidmatan peralatan menyelam direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -utusan

No comments:

Post a Comment