Search This Blog

Wednesday, August 17, 2011

Pengawal keselamatan didakwa

IPOH: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim pada hari ketiga Ramadan, 3 Ogos lalu.
Tertuduh Syahmie Hassan, 20, didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 1, Blok F, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Tambun, dekat sini, antara jam 6 petang dan 7.30 malam pada tarikh berkenaan.

Syahmie yang menetap di rumah bernombor F-1-2, blok pangsapuri sama dengan arwah Rohani didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk sebagai tanda faham, namun Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal tidak memberi tawaran jaminan kepada tertuduh.

Nurul Akmal menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, rakan serumah Syahmie, Nurhisyam Shukor, 23, yang juga bekas anggota tentera didakwa mengikut Seksyen 414 di mahkamah sama semalam atas tuduhan melupuskan harta curi iaitu gelang emas bernilai kira-kira RM6,000 milik arwah Rohani.


Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan sebelum Nurul Akmal menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes itu juga disebut semula pada 17 Oktober.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melupuskan gelang emas berkenaan di Kedai Jam Tangan Kam Seng di No 55, Jalan Besar, Tanjung Malim antara jam 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh, namun tertuduh merayu dikurangkan wang jaminan dengan memberi alasan belum berkahwin selain tiada ahli keluarga yang hadir pada prosiding semalam.

Mayat Rohani disedari seorang pengawal keselamatan berhampiran pangsapurinya selepas melihat beberapa lelaki membawa bungkusan berisi mayat mangsa kira-kira jam 3.30 pagi pada 4 Ogos lalu.

Arwah yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan pengarah di jabatan berkenaan pada Julai lalu adalah bekas Pendaftar di Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga, Sintok, Kedah.

Sehubungan itu, polis menahan empat lelaki berusia 20 hingga 26 tahun tidak sampai 24 jam selepas penemuan mayat itu. Seorang daripadanya sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi tamat reman hari ini.-hmetro

No comments:

Post a Comment