Search This Blog

Thursday, August 11, 2011

Pemuda ditahan disyaki miliki pil kuda RM280,000

Mazlan Che Hamid (berdiri) bersama anggota pasukannya memeriksa
barangan yang dirampas di bawah Ops Letup di Pasir Puteh, semalam.

PASIR PUTEH 10 Ogos - Taktik seorang lelaki untuk menyeludup sejumlah pil kuda bernilai RM280,000 menggunakan bas ekspres gagal apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di Bukit Yong, di sini malam tadi.
Dalam Ops Letup bermula pukul 8.30 malam hingga pukul 2 pagi itu, dadah itu ditemui disimpan di dalam sebuah beg pakaian di atas ruang penyimpanan barang di tempat duduk penumpang.
Komander UPP Negeri, Mazlan Che Hamid berkata, berikutan itu, pihaknya menahan seorang penumpang berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.
"Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut apabila kita mendapati beg berkenaan memiliki pengecas telefon sepadan dengan telefon bimbit dimilikinya.
"Selain itu, nama pada buku akaun bank yang terdapat di dalam beg berkenaan bersamaan dengan nama di kad pengenalan suspek," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan sempena musim perayaan itu membabitkan seorang pegawai dan 16 anggota UPP.
Mazlan berkata, ketika diperiksa, bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan, Pahang.
Kata beliau, pihaknya percaya, pil kuda itu diperolehi dari negara jiran untuk dipasarkan dengan harga lebih tinggi di negeri yang menjadi destinasi suspek.
Tambah beliau, dalam sekatan itu, UPP turut merampas mercun dan bunga api serta pakaian berjenama tiruan bernilai RM21,000.
"UPP akan terus membuat sekatan jalan raya bagi membanteras kes-kes penyeludupan seperti itu yang dijangka meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri ini," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment