Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Pemandu lori dan penunggang maut nahas

KUANTAN - Seorang pemandu lori maut dipercayai akibat tersepit dalam kenderaannya yang terbalik selepas terbabas dan merempuh tembok longkang di Kilometer 15.4 Jalan Genting Highlands –Kuala Lumpur dekat Bentong awal pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 4.10 pagi itu, mangsa, Santosh Dangkal, 32 pekerja sebuah kedai perabot di Sungai Buloh, Selangor mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Genting Highlands sebelum dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah pusat peranginan tanah tinggi itu untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi nahas, lori yang dipandunya hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit di situ lalu terbabas dan melanggar longkang di tepi sebelah kiri.

“Akibat pelanggaran itu, lori tersebut hilang imbangan lalu terbalik dan mangsa dipercayai tersepit,” katanya. Ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang penunggang maut akibat tercampak dari motosikalnya yang terbalik selepas terbabas ketika melalui jalan Felda Bukit Tajau, Maran, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Harun Ali Yasi, 56 cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan bandar Maran.

Mohamed Fauzi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dipercayai menunggang dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di peringkat satu perumahan Felda Bukit Tajau.

“Ketika sampai di lokasi itu, motosikal jenis Nitro yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai melambung sebelum terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua nahas tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SH

No comments:

Post a Comment