Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Misteri kehilangan lembu terjawab






Mustafa Awang memegang ubat pelali yang ditembak pada lembunya oleh pencuri di Kampung Semangat, Kuantan, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 14 Ogos – Seorang penternak kerugian lebih RM112,000 sejak dua tahun lalu apabila kira-kira 30 ekor kerbau dan lembu miliknya menjadi sasaran pencuri bersenjatakan senapang pelali.
Mustafa Awang, 53, berkata, dia tidak menyangka haiwan ternakannya menjadi sasaran pencuri sehingga dia sendiri melihatnya dalam kejadian di Kampung Semangat di sini, semalam.
“Kira-kira pukul 1 petang, saya sendiri menyaksikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Viva berwarna hitam menembak seekor lembu saya.
“Apabila menyedari kehadiran saya, kumpulan perompak itu segera melarikan diri tanpa sempat memeriksa lembu yang ditembak ubat pelali itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mustafa, dia segera memeriksa lembu yang terbaring di tepi jalan raya dan mendapati terdapat ubat pelali yang terpacak di badan haiwan berkenaan.
“Penemuan ini merungkai kehilangan kira-kira 30 ekor kerbau dan lembu milik saya sejak dua tahun lalu.
“Saya tidak sangka mereka sanggup menggunakan ubat pelali untuk mencuri dan yang menjadi kemusykilan ialah bagaimana mereka mendapat bekalan ubat pelali itu,” ujarnya yang masih mempunyai 50 ekor kerbau dan 92 ekor lembu.
Dia sebelum ini pernah menemui tulang-tulang dan sisa sembelihan di sekitar hutan serta semak di kampung tersebut selain turut mengesyaki ia adalah haiwan ternakannya yang hilang.
“Sejak dua tahun lalu, bilangan kehilangan ternakan meningkat setiap kali tiba bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Mungkin daging ternakan itu dijual di pasar-pasar sekitar Pekan dan Kuantan untuk kegunaan orang ramai,” katanya yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.-utusan

No comments:

Post a Comment