Search This Blog

Thursday, August 25, 2011

Maut selepas lahir anak



RAWANG – Seorang suri rumah berusia 35 tahun ditemui mati selepas tumpah darah sebaik sahaja melahirkan anak keempatnya di rumah sewa sebuah pangsapuri, di Bukit Rawang Jaya 2, di sini, malam kelmarin.

Mangsa berasal dari Sabah dan pernah bekerja di sebuah kilang berhampiran dikatakan meninggal dunia sekitar jam 8 malam selepas melahirkan seorang bayi perempuan yang masih hidup dan kini ditempatkan di Hospital Selayang.

Jirannya yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama suaminya bekerja sebagai tukang servis penghawa dingin yang juga dari Sabah, baru sahaja berpindah ke situ.

“Saya jarang melihat mangsa bersama tiga lagi anaknya yang masih kecil berumur di bawah 12 tahun. Dia pun biasanya hanya berada dalam rumah mungkin kerana sudah sarat mengandung, tidak lalu turun naik tangga rumah di tingkat empat.

“Saya difahamkan suaminya hanya menyedari kejadian selepas pulang ke rumah sekitar jam 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklumat mengenai mangsa dengan pergi ke rumahnya, namun difahamkan MyKad mangsa dan sijil pernikahan tidak ditemui, tetapi maklumat diri didapati daripada pas pekerja lama.

Jurucakap polis berkata, suami mangsa masih lagi kebingungan selepas kejadian berkenaan dan masih belum dapat disoal lebih lanjut.

Difahamkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat, jenazahnya disempurnakan di sebuah masjid kawasan Parlimen Batu, Kuala Lumpur petang semalam.

Terdahulu, tinjauan ke rumah didiami mangsa bersama anak-anaknya mendapati terdapat banyak unit rumah kosong daripada dua blok rumah lima tingkat terdapat di pangsapuri terbiar berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyemak laporan berhubung kejadian.

No comments:

Post a Comment