Search This Blog

Friday, August 19, 2011

Lanun ganggu bekalan ikan

Nelayan Pantai Barat Semenanjung diancam, bimbang turun ke laut

PUTRAJAYA: Bekalan ikan dijangka terjejas menjelang musim perayaan ini berikutan kebanyakan nelayan di Pantai Barat Semenanjung bimbang turun ke laut kerana mendakwa kegiatan lanun berleluasa sejak beberapa minggu lalu. Kegiatan yang semakin meningkat itu menyebabkan lebih 52 bot nelayan di Bagan Panchor dan Pantai Remis, Perak, dan nelayan di Kuala Perlis dilaporkan tidak turun ke laut. Berikutan kebimbangan nelayan untuk turun ke laut, kita menjangkakan bekalan ikan akan terjejas terutama menjelang musim perayaan ini. - Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Nelayan terbabit juga mendakwa diugut membayar sejumlah wang kepada lanun yang dipercayai warga asing atau terpaksa berhadapan ancaman ketika menangkap ikan di laut.

Perkara itu antara yang diluahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, oleh wakil nelayan terbabit di kementerian berkenaan, semalam.

Pada sidang media kemudian, Noh berkata, pihaknya kini mengadakan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menjaga keselamatan nelayan tempatan di perairan.

"Berikutan kebimbangan nelayan untuk turun ke laut, kita menjangkakan bekalan ikan akan terjejas terutama menjelang musim perayaan ini.
"Namun, pihak APMM sudah mengambil langkah tertentu bagi memastikan keselamatan nelayan kita terjamin apabila turun ke laut," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Nelayan Bagan Panchor dan Pantai Remis di sini, semalam.

Sebelum itu, Noh juga mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Pekebun Sayur dan Buah-buahan.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd Johari Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Ahmad Puzi berkata, pihaknya sudah meningkatkan kawalan di kawasan perairan di pantai Barat dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga berjaya membuat tangkapan dua lanun pada 7 Ogos lalu.

"Kita membuat rondaan 24 jam bersama TLDM dan ingin menyatakan bahawa perairan kita masih selamat," katanya. -bharian

No comments:

Post a Comment