Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Kereta guru terbakar




Mohd. Naim Mahad (kanan) melihat keretanya yang terbakar berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 14 Ogos – Seorang guru agama bersama rakannya terselamat apabila kereta yang mereka naiki tiba-tiba terbakar berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Mohd. Naim Mahad, 24, bersama rakannya yang dikenali sebagai, Abdullah, 25, dalam perjalanan menunaikan solat Asar di surau balai bomba berkenaan.
Mohd. Naim ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia baharu sahaja mengambil keretanya yang siap dibaiki di sebuah bengkel, di sini.
“Selasa lalu saya hantar kereta untuk dibaiki kerana mengalami masalah kebocoran tangki air dan brek sebelum mengambilnya pukul 5.30 petang tadi (semalam).
“Mekanik memaklumkan bahawa banyak bahagian telah dibaiki kerana rosak, selepas itu saya terus ke balai bomba berkenaan untuk menunaikan solat Asar sebelum merancang pulang berbuka puasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Mohd. Naim, sebaik sahaja memasuki simpang menghala ke balai bomba berkenaan, keretanya tiba-tiba berhenti dan mengeluarkan asap berkepul-kepul.
Dia yang mengajar di Madrasah Tahfiz Darul Izzah, Batu Balai dekat sini, bergegas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.
“Saya lihat api keluar berhampiran stereng kereta dan terus berlari untuk meminta bantuan di balai bomba berkenaan,” ujarnya yang berasal dari Selangor.
Mohd. Naim memberitahu, tindakan pantas pihak bomba berjaya memadamkan api sebelum menghubungi semula mekanik yang membaiki keretanya untuk memaklumkan kejadian tersebut.
“Mekanik terbabit datang dan melihat keadaan kereta yang terbakar di bahagian depan dengan cerminnya pecah. Mekanik tersebut memberitahu kebakaran dipercayai akibat masalah pendawaian.
“Walaupun terkilan kerana kereta ini baharu sahaja siap dibaiki namun saya bersyukur kerana terselamat dan terima kasih kepada pihak bomba yang memadam api dengan pantas,” jelasnya.-utusan

No comments:

Post a Comment