Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Kaki ponteng puasa dicekup

 

GURUN – Sekumpulan kaki ponteng puasa sanggup melarikan diri menggunakan laluan khas yang telah ditebuk untuk masuk ke kawasan larangan tangki air sebelum memanjat pagar setinggi tiga meter bagi mengelak daripada dicekup penguat kuasa.

Namun, sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila empat daripada mereka termasuk seorang daripadanya yang bersembunyi dalam tandas berjaya ditahan.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, satu lokasi terletak dalam sebuah kawasan semak berhampiran tangki air dekat sebuah kawasan perusahaan yang dijadikan lokasi rahsia kaki ponteng puasa akhirnya dikesan.

Menurutnya, operasi bersepadu bersama pegawai dan kakitangan dari Pejabat Agama Islam Kuala Muda, sepasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan anggota Cawangan Penyiasatan Khas Tentera Kem Lapangan Terbang Sungai Petani melibatkan 27 anggota menjalankan operasi berkenaan sekitar Kuala Muda.

“Ketika serbuan dilakukan pada jam 12.52 tengah hari, didapati mereka yang terlibat berusia antara 19 dan 50 sedang menikmati hidangan tengah hari berdasarkan bekas berisi makanan dan minuman ditemui di kawasan terbabit.

“Didapati sekumpulan lelaki sedang asyik menikmati makanan di sebuah ‘gerai kecil’ dalam kawasan semak yang sedikit tersembunyi bertujuan mengaburi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, apabila diserbu, kesemua mereka melarikan diri melalui pagar yang telah ditebuk untuk menyeberangi kawasan tangki air sebelum memanjat semula pagar di bahagian hujung untuk melarikan diri ke kawasan rumah penduduk dan seterusnya memasuki kawasan ladang berdekatan.

“Bagaimanapun tindakan pantas penguat kuasa berjaya menahan empat daripadanya termasuk seorang lelaki yang bersembunyi dalam tandas rumah penduduk berhampiran.

“Seorang daripada mereka turut dikesan mengalami luka di tapak tangan kiri akibat terkena dawai pagar ketika cubaan melarikan diri dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka diberi surat amaran selain diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.-SH

No comments:

Post a Comment