Search This Blog

Friday, August 19, 2011

Jururawat mangsa nahas meninggal




MOHD. Faizal menunjukkan potretnya bersama bakal tunangnya, Yuhana Yasin, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL


MELAKA 18 Ogos - Setelah 48 jam bertarung nyawa akibat cedera parah dalam nahas yang melibatkan sebuah ambulans dan teksi di Ayer Keroh, kelmarin, seorang lagi mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka, awal pagi ini.
Mangsa, Yuhana Yasin, 30, jururawat yang berada di dalam ambulans itu dan sepatutnya melangsungkan pertunangan pada Hari Raya Aidilfitri ini, meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi.
Semalam, seorang lagi mangsa kemalangan itu, Maryam Baba, 73, iaitu pesakit yang hendak dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) meninggal dunia pukul 9.10 pagi.
Bakal tunang Yuhana yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd. Faizal, 30-an, berkata, Allahyarham baru bertugas di Hospital Melaka selepas dipindahkan dari Hospital Batu Pahat, Johor, dua minggu lalu.
"Kami merancang akan melangsungkan pertunangan pada Aidilfitri ini dan berkahwin Disember depan namun segalanya tinggal impian yang sukar untuk saya lupakan," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi Yuhana pada pagi Isnin lalu melalui panggilan video 3G dan memberitahu rancangan untuk balik ke Kampung Parit Jawa, Muar, Johor, hari ini.
Dalam perbualan selama 20 minit itu, kata Mohd. Faizal yang bertugas sebagai atendan di salah sebuah hospital swasta di sini, arwah meminta izin untuk pergi ke HKL membawa seorang pesakit.
"Saya cukup pelik dengan nada Yuhana ketika itu kerana sebelum ini dia tidak pernah meminta izin daripada saya. Arwah juga ada beritahu saya, dia nak pulang ke kampung Khamis ini kerana badannya terasa sakit-sakit.
"Tak sangka pula, memang hari ini (Khamis) jenazah arwah yang akan balik untuk dikebumikan di kampungnya," katanya dalam nada sedih.
Katanya, arwah meminta untuk ditukarkan ke Hospital Melaka sejak awal Ramadan lalu kerana merancang untuk menetap di sini setelah berkahwin nanti.
Mohd. Faizal berkata, kali terakhir mereka bertemu pada 31 Julai lalu iaitu sehari sebelum Ramadan.
-utusan

No comments:

Post a Comment