Search This Blog

Thursday, August 25, 2011

Isteri maut dilanggar ketika keluar simpang



KUALA BERANG - Malang tidak berbau! Hasrat seorang anggota polis berpangkat sarjan yang mahu mengambil motosikal yang terbabit dalam kemala-ngan maut di Kuala Telemong malam kelmarin tidak kesampaian apabila pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dengan kemalangan di Kilometer 11 Jalan Kuala Berang-Kuala Telemong, di Kampung Sungai Ular, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, kenderaan jabatan dipandu anggota polis berkenaan dari arah Kuala Berang menuju Kuala Telemong terlanggar sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri.

Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal tersebut, Mahani Muda, 42, cedera parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu oleh anggota polis, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan, manakala penunggang yang juga suami mangsa, Azami Md Deli, 44, mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, terdahulu, anggota polis berkenaan diarahkan mengambil motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Berang-Kuala Telemong, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong malam kelmarin.

“Kemalangan pertama ini berlaku kira-kira jam 9.30 malam semalam (kelmarin) membabitkan seorang penunggang motosikal iaitu Lukman Hakim Mohamad, 16, berasal dari Kampung Bukit Diman, Ajil yang dipercayai terbabas.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan kira-kira jam 10.30 pagi semalam, dia disahkan meninggal dunia,” katanya .

Tengku Hamzah berkata, berikutan motosikal mangsa masih berada di lokasi kejadian, anggota polis berpangkat sarjan diarahkan mengambil kenderaan tersebut.

“Namun, ketika dalam perjalanan dia terbabit dengan kemalangan dengan sebuah motosikal yang dinaiki oleh sepasang suami isteri yang berasal dari Kampung Sungai Ular yang dipercayai secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

No comments:

Post a Comment