Search This Blog

Thursday, August 25, 2011

Gantung diri akibat sakit gigi



HULU TERENGGANU - Akibat tidak tahan sakit gigi yang dialami sejak seminggu lalu, seorang buruh ditemui tergantung pada tali yang diikat pada kayu alang rumah.

Dalam kejadian yang berlaku di rumah sewanya di Kampung Pauh di sini pagi kelmarin, lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kampar, Perak itu bertindak menggantungkan diri menggunakan tali nilon berukuran tiga sentimeter lebar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan, Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, dalam kejadian antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi itu, mangsa yang juga orang sekatan kerana terbabit dalam kes bunuh meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Mangsa dikatakan berdiri di atas sebuah kerusi lalu menjerut lehernya sendiri sebelum ditemui tergantung dalam bilik jahitan oleh isterinya lebih kurang jam 7 pagi pada hari kejadian.

“Isteri mangsa kemudiannya meminta bantuan adik lelaki dan adik iparnya untuk memotong tali serta menurunkan mangsa,” katanya.

Tengku Hamzah berkata, apabila mendapati mangsa masih lagi bernyawa, mereka membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan, namun apabila tiba di bilik kecemasan doktor bertugas memberitahu mangsa telah meninggal dunia.

“Mangsa adalah orang sekatan di bawah EO/OD KAMJ 18845, Perintah Sekatan 31 Oktober 2009 hingga 30 Oktober 2011 iaitu selama dua tahun kerana terbabit dalam kes pembunuhan di Kampar, Perak.

“Isteri mangsa mendapati suaminya mengambil tindakan membunuh diri akibat terlalu kecewa selepas seminggu mengalami sakit gigi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Tengku Hamzah, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes disifatkan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment