Search This Blog

Friday, August 19, 2011

Dua pemuda maut, motosikal bertembung sesama sendiri

PASIR MAS 18 Ogos – Dua pemuda maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Meranti-Pohon Tanjung, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa, Mohd. Firdaus Suliman, 24, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, pukul 9.50 malam tadi, manakala Mohd. Jihadul Iman Abdul Aziz, 24, di Hospital Pasir Mas pukul 1.15 pagi semalam.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggangi Mohd. Firdaus bersama rakannya, Abdul Rahman dalam perjalanan dari Meranti ke Pohon Tanjong, manakala motosikal ditunggangi Mohd. Jihadul Iman pula dari arah bertentangan.
Pertembungan itu turut menyebabkan Abdul Rahman patah betis dan bengkak mata kiri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi hari ini, mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu Mohd. Firdaus, Siti Mariam Ibrahim, 60, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat untuk membelikan baju Melayu seperti diminta oleh Allahyarham yang merupakan anak kelapan daripada 10 adik beradik.
“Memang biasa kakaknya beli baju Melayu pada setiap tahun, jadi saya tidak menganggap apa-apa bila dia minta baju Melayu sehinggalah dia terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia malam tadi.
“Kami sekeluarga tidak sangka ia berlaku kerana dia tidak menunjukkan perubahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Tanjong di sini, hari ini.
Tambahnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh Tanjong kira-kira pukul 11 pagi ini.-utusan

No comments:

Post a Comment