Search This Blog

Friday, August 19, 2011

Biasiswa ditolak, pelajar saman Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Setelah hajat melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge dengan biasiswa Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) tidak kesampaian, seorang pelajar hari ini menyaman syarikat milik kerajaan (GLC) itu dan tiga yang lain.
Chan Xian Yao yang merupakan anak lelaki kepada seorang peguam itu mendakwa telah ditawarkan tempat di Universiti Cambridge untuk mengikuti kursus peringkat sarjana dalam jurusan Kejuruteraan Kimia yang akan bermula pada Oktober ini selama empat tahun.
Dalam pernyataan tuntutannya, Xian Yao menyatakan, dia merupakan pelajar pintar dalam peperiksaan A-Level di seluruh Malaysia dengan markah penuh dalam subjek Kimia dan Fizik.
Xian Yao, 18, menamakan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarahnya, Azman Mohd. Hussein, Khazanah dan Yayasan Khazanah sebagai defendan pertama hingga keempat.
Saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan melalui firma guaman bapanya, Tetuan Chan Chow Wang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dia selaku plaintif mendakwa telah ditemu duga oleh panel profesor dari Universiti Cambridge sebelum ditawarkan tempat di situ.
Xian Yao menyatakan, dia memohon biasiswa daripada Khazanah-Cambridge Scholarship tetapi yayasan itu kemudiannya memaklumkan menerusi e-mel bahawa permohonannya tidak berjaya tanpa memberikan sebarang alasan.
Selepas mengemukakan rayuan melalui ibu bapanya, plaintif berkata, barulah satu e-mel yang mengatakan, dia berada dalam senarai pendek, dihantar dan dikehendaki membuat penilaian secara dalam talian (online) sebagai syarat pemilihan.
Namun defendan dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Jun lalu menyatakan, hanya tiga pemohon telah diberi biasiswa tanpa memberi maklumat pemohon-pemohon seperti nama, kursus atau keputusan akademik mereka, katanya.
Justeru plaintif mendakwa, pihak defendan tidak menjalankan proses pemilihan yang betul dan adil sebelum menolak permohonannya selain tidak telus hingga mengakibatkan dia merasa malu dan tekanan perasaan.
Sehubungan itu, plaintif memohon perintah perisytiharan bahawa pemberian biasiswa kepada tiga penerima tersebut diisytiharkan batal dan tidak sah selain memohon penubuhan sebuah jawatankuasa pemilihan untuk membuat penilaian terhadap pemohon-pemohon berdasarkanmerit.
Secara alternatif, plaintif turut memohon pampasan kerana merasakan dirinya telah dimalukan selain tekanan perasaan yang dialaminya.-utusan

No comments:

Post a Comment